Mengimbau ekonomi setahun lalu dan lihat potensi 2021

 Mengimbau ekonomi setahun lalu dan lihat potensi 2021

Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

KEMELESETAN ekonomi sememangnya umpama mimpi ngeri yang seboleh-bolehnya kita mahu elakkan. Namun ia telah pun berlaku tahun lalu. Sebab yang jelas adalah berkaitan penularan COVID-19 yang sememangnya menjadi perhatian umum global. Kemelesetan ekonomi dunia dilihat seolah-olah sebagai sesuatu yang perlu berlaku berikutan keperluan untuk meletakkan keutamaan yang betul pada tempatnya. Keutamaan itu tidak lain dan tidak bukan iaitu bagi memastikan krisis kesihatan umum dapat dikekang daripada terus menjadi ancaman kepada nyawa manusia. Situasi ini menyebabkan kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan langkah-langkah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac 2020 setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan COVID-19 sebagai suatu pandemik.

Sesungguhnya, persoalan antara kesihatan dan ekonomi adalah sesuatu yang amat sukar dijawab kerana kedua-duanya penting. Tanpa nyawa maka jumlah pekerja akan berkurangan dan kegiatanĀ  ekonomi boleh terjejas teruk akibat aktiviti pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang tidak dapat dilaksanakan. Ini tidak termasuk faktor sentimen negatif seperti kebimbangan kehilangan nyawa juga boleh menjurus kepada kegiatan ekonomi yang boleh terhenti berikutan risiko jangkitan wabak tersebut. Perekonomian juga penting bagi kehidupan kerana di situ platform untuk rakyat dan peniaga berinteraksi bagi menghasilkan barangan dan perkhidmatan. Peniaga akan mendapat untung dan pekerja pula mendapat upah. Kedua-duanya ini akan dibelanjakan untuk merancakkan lagi ekonomi. Ā Sehubungan itu, sebarang bentuk tindakan yang bakal diambil perlu mengambilkira data-data relevan, tepat dan terkini supaya keputusan yang diambil tidak tersasar bagi mencapai objektif ditetapkan.

Berdasarkan pengamatan selama 12 bulan lalu, kepimpinan yang cakna tentang risiko yang boleh berlaku merupakan ciri-ciri yang penting dan wujud di dalam kerajaan sedia ada. Menyedari bahaya ekonomi yang mungkin berlaku akibat langkah penutupan ekonomi, dasar fiskal yang mengembang diperkenalkan melalui beberapa pakej rangsangan fiskal yang diumumkan. Saiz pakej rangsangan fiskal yang diperkenalkan yang berjumlah RM305 bilion adalah suatu bentuk campur tangan yang besar jika dibandingkan dengan pakej rangsangan apabila negara menghadapi Krisis Sub Prima di Amerika Syarikat (AS) pada 2007 dan 2008.

Krisis itu berpunca daripada kejatuhan harga hartanah kediaman serta hutang tidak berbayar dalam pinjaman hartanah kediaman di AS yang mana hutang-hutang ini telah dipakejkan menjadi instrumen kewangan yang sangat toksik. Pada ketika itu, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM67 bilion.

Mungkin ramai tertanya-tanya, apa yang akan berlaku kepada ekonomi negara sekiranya kerajaan mengambil pendekatan untuk berpeluk tubuh? Dengan kata lain, tiada campur tangan oleh kerajaan bagi mengurangkan impak kepada ekonomi. Dan mungkin juga ada yang berasa hairan tentang kemelesetan ekonomi yang berlaku yang mana sepatutnya dapat dielakkan sekiranya kerajaan sudah pun melaksanakan pakej rangsangan ekonomi. Fakta kemelesetan ekonomi sememangnya tidak dinafikan. Perkara ini terbukti apabila ekonomi negara mencatatkan penguncupan 5.6 peratus pada 2020. Ini adalah prestasi terburuk selepas Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan 1998 yang mana kegiatan ekonomi menguncup 7.4 peratus.

Bagi menjawab persoalan ini, seseorang itu perlu membayangkan keadaan ekonomi negara sekiranya kerajaan memilih untuk tidak campur tangan. Adakah penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya setakat 5.6 peratus? Dan apakah kadar pengangguran terhenti setakat 4.5 peratus padaĀ  2020 tanpa ada apa-apa tindakan daripada pihak kerajaan? Jawapan yang terang lagi bersuluh adalah sudah tentu tidak. Berkemungkinan kemelesetan ekonomi menjadi lebih serius dan angka penguncupanĀ  menjadi lebih besarĀ  akan dicatatkan. Manakala kadar pengangguran pula mungkin akan lebih tinggi daripada yang telah kita dijangkakan pada tahun lalu. Oleh itu, kita tidak boleh memandang enteng tentang keberkesanan campur tangan kerajaan untuk menstabilkan keadaan ekonomi yang terpalit akibatĀ  penularan COVID-19.

 

Meninjau prospek ekonomi tahun ini, ia seolah-lah terdapat satu pengharapan yang mampu untuk melonjakkan semangat atau sentimen yang lebih baik. Hal ini berdasarkan situasi ekonomi global yang dilihat mencatatkan perkembangan yang positif terutamanya isyarat yang ditunjukkan oleh pasaran kewangan terutamanya pasaran bon dan saham.

 

Meninjau prospek ekonomi tahun ini, ia seolah-lah terdapat satu pengharapan yang mampu untuk melonjakkan semangat atau sentimen yang lebih baik. Hal ini berdasarkan situasi ekonomi global yang dilihat mencatatkan perkembangan yang positif terutamanya isyarat yang ditunjukkan oleh pasaran kewangan terutamanya pasaran bon dan saham. Kadar pulangan bon (bond yield) yang diterbitkan oleh Perbendaharaan AS yang mempunyai tempoh matang 10 tahun telah meningkat melebihi 1.50 peratus baru-baru. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding pada paras 0.91 peratus yang dicatakan pada awal Januari 2021. Peningkatan kadar pulangan bon ini menandakan bahawa peserta pasaran bon global dilihat sedang mengunjurkan kadar faedah utama dunia bakal dinaikkan seiring unjuran pemulihan ekonomi global.

Begitu juga indeks harga saham utama dunia seperti S&P 500 di AS yang terus dipacu ke paras tertinggi dalam sejarah. Peningkatan indeks harga-harga saham ini menandakan jangkaan pemulihan dalam tahap keuntungan syarikat yang disenaraikan. Sektor berkaitan teknologi dilihat menjadi pilihan utama pelabur apabila ianya juga dikaitkan dengan norma baharu yang mana penggunaan peranti pintar dan data dijangka melonjak naik. Di samping itu, peningkatan harga komoditi seperti minyak mentah juga memberi isyarat bahawa ekonomi global bakal menjadi lebih rancak apabila program vaksinasi yang dilaksanakan di serata dunia akan menjadikan pembukaan ekonomi menjadi lebih meyakinkan dan konsisten.

Oleh demikian, kerajaan sedia ada dilihat telah mencuba sedaya upaya untuk memastikan situasi COVID-19 ditangani sebaik-baiknya. Kini vaksin telah pun diperolehi dan dalam proses untuk dilancarkan ke seluruh negara. Imuniti berkelompok pula dijangka dicapai pada suku pertama 2022. Sehubungan itu, tahap pembukaan ekonomi dijangka berlaku dalam kadar yang bersesuaian dengan tahap jangkitan yang masih dikira tinggi. Dengan pakej rangsangan ekonomi serta peruntukan belanjawan yang besar, tidak mustahil ekonomi negara bakal mencatatkan pertumbuhan yang positif pada tahun ini. Meskipun demikian, ada juga suara sumbang berkenaan vaksin ini dilontarkan dalam media sosial yang boleh menggugat keyakiran rakyat untuk menjalani program vakisani. Di sini peranan penyaluran maklumat yang tepat perlu diperhebatkan supaya tidak berlaku salah faham yang boleh merugikan negara dan rakyat.

Berdasarkan hal ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu sentiasa berfikiran positif supaya kita sentiasa mempunyai sudut pandang yang lebih objektif dan cenderung untuk mencari penyelesaian. Tidak dinafikan bantuan kerajaan yang pelbagai dan diuruskan oleh beberapa agensi boleh menimbulkan kekeliruan. Namun kita perlu fokus dan terus mencari jalan keluar kepada permasalahan yang dihadapi. Kerajaan sememangnya merupakan unsur yang penting di dalam satu-satu ekonomi. Namun ia bukan satu-satunya unsur yang menggerakkan ekonomi. Ia memerlukan peniaga dan isi rumah untuk bersama-sama bekerja bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad

Ā 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  29  =  30