Mengekalkan tradisi Melayu dalam sebuah keris

 Mengekalkan tradisi Melayu dalam sebuah keris

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 3 Feb: Menurut legenda, keris dimiliki Laksamana Hang Tuah yang dinamakan Taming Sari mampu menjadikan beliau kebal dan mampu melawan 100 musuh sekali gus.

Tidak mengira mitos atau benar, keris sememangnya sinonim dengan tamadun, persenjataan dan budaya masyarakat Melayu. Ia dianggap sebuah lambang, maruah, kekuatan dan keperibadian.

Keris dikatakan wujud sebelum kedatangan agama Hindu dan kemudian Islam di Nusantara. Keris disifatkan senjata Melayu yang terulung dan sering dikaitkan elemen mistik sama ada kemampuan atau pembikinannya.

Sekian lama senjata ini digunakan untuk mendominasi medan peperangan. Saiznya yang kecil dan ringan membuatkan ia lebih praktikal berbanding pedang untuk digunakan.

Kini, keris hanya digunakan untuk majlis seperti perkahwinan, majlis kebesaran masyarakat Melayu serta perhiasan. Namun, ini tidak bermakna senjata tradisi masyarakat Melayu ini dipinggirkan sebaliknya masih diminat komuniti tertentu termasuk generasi muda.

Bagi Lokman Zainal Abidin, 50, beliau meminati keris seawal umur 7 tahun dan mula mengumpul keris apabila bekerja.

Lokman Zainal Abidin

“Saya pernah memiliki hampir 100 bilah, tetapi saya sudah maharkan sebahagian besarnya kepada rakan kerana koleksi peringkat awal itu hanya sebagai sumber rujukan dan pembelajaran sahaja. Ketika ini, koleksi peribadi keris saya melebihi 20 bilah,” katanya kepada Wacana.my.

Kata beliau, keris adalah hasil seni kerja tangan dan budaya orang Melayu yang unik kerana bentuk dan impaknya di medan perang.

Secara umumnya,  keris terbahagi kepada dua iaitu keris lurus dan keris berlok. Ini adalah keluarga besar untuk keris. Keris lurus pula dipecahkan kepada beberapa jenis seperti sepukal, alang dan sebagainya. Keris berlok pula biasa ditemui dalam jumlah lok yang ganjil seperti 3, 5, 7, 9, 11, 13, 15 dan berikutnya.

Kata Lokman, keris unik kerana selain jadi senjata dalam pertempuran, ia adalah  pengganti diri kepada pemiliknya pada keadaan tertentu. Malah perbuatan melihat dan memegang keris milik orang lain boleh dianggap menghina pemiliknya.

“Justeru, keris memang dianggap sesuatu yang tidak boleh diremehkan oleh orang lain,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Keris Semenanjung berkata, sesiapa sahaja boleh mempelajari ilmu mengenai keris. Objektif pertubuhan itu antara lain bagi memastikan senjata penuh simbolik itu tidak dilupakan masyarakat Melayu atau sesiapa sahaja.

“Nasihat saya, belajarlah mengenal keris terlebih dulu. Ilmu itu boleh didapati dengan merujuk kepada ahli-ahlinya. Ketika ini, ramai yang mengambil kesempatan dengan bersikap tidak jujur terhadap individu yang mahu berjinak-jinak dengan keris.

Keris penuh mistik dan ada penjaganya?

Bagi Lokman,  mistik di sebalik sebilah keris bukan sesuatu yang menghairankan.  

Tukang keris zaman dahulu tidak sekadar menempa tetapi ada mentera, ayat atau amalan tertentu yang digunakan ketika menghasilkan sebilah keris. Justeru, tidak hairan setiap keris lama memiliki ‘roh’ atau ‘semangat’ tersendiri.

Selain itu, sebahagian keris dinamakan mengikut nama pemilik asalnya seperti Taming Sari yang asaslnya dimiliki seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Bagi keris-keris Semenanjung, ia biasanya membawa nama jenis keris itu sendiri.

Soal pantang larang, kata Lokman, tidak wujud untuk sesiapa yang mahu menyimpan atau memilik keris sama yang lama mahupun baharu.

Menjaga keris juga tidak sesukar disangkakan. Pada zaman dulu, kemenyan, limau nipis, bunga dan sebagainya digunakan untuk mencuci keris. Tetapi sekarang, keris hanya dicuci dengan air limau nipis hingga tertanggal karatnya kemudian dibilas dengan air bersih sebelum dikeringkan bagi disapu minyak.

“Jika keris yang kita simpan itu tidak berkarat, biarlah ia dalam keadaan itu,” katanya.

Beliau yang juga bekas wartawan, kini mempunyai perniagaan sendiri menjual barangan antik terutamanya keris.

Keris paling mahal yang dijual adalah RM12,000. Ia antara keris terbaik pernah dimilikinya manakala keris paling mahal dibeli berharga RM20,000.

Sebelum menjadi peniaga, tidak kurang 80 keris telah dijual. Selepas menjadi peniaga sepenuh masa sejak enam bulan lalu, beliau telah lebih 30 keris.

Berikutan pandemik COVID-19 masih belum reda, beliau tidak lagi dapat ke luar negara untuk berjual beli keris, sebaliknya fokus kepada jual beli dengan peminat keris di Pantai Timur.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5  +  1  =