Mendidik generasi Muslim dengan teladan Rasulullah

 Mendidik generasi Muslim dengan teladan Rasulullah

 

Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

Dalam proses mendidik generasi Muslim yang beretika dan bermoral tinggi dalam kehidupan harian di alam nyata pada hari ini, maka amat banyak sekali contoh dari al-Quran dan sejarah Nabi Muhammad SAW yang dapat dijadikan teladan.

Banyak masalah yang timbul pada hari ini di dalam masyarakat kita akibat dari pendedahan kepada internet dan media sosial. Umpamanya, kita dapat dipelajari dari sejarah kehidupan dan peri laku Nabi Muhammad SAW sendiri yang seharusnya difahami dengan baik dan dijadikan teladan yang utama oleh generasi baru dan lama di dalam masyarakat kita.

Hal inilah yang sering saya sebutkan bahawa penceramah agama dan kuliah di surau atau masjid, juga khutbah dan seminar Islam. Mereka harus membawakan tajuk-tajuk ini dalam ceramah dan usrah mereka, dengan mengintegrasikannya dengan kehidupan moden pada hari ini.

Ketika mempelajari sejarah kehidupan Nabi Muhamad SAW umpamanya, ternyata bahawa Baginda tidak bercakap sebarangan. Apa-apa yang dibicarakannya sentiasa terus kepada tajuk tanpa bercakap kosong dan melulu. Segala butiran yang diperkatakannya amat fokus, padat dan tepat, ringkas dan sempurna. Kemahiran Baginda berbicara amat jelas, tanpa sebarang bahan penambahan yang sia-sia. Tanpa sebarang makna yang tergantung atau samar-samar bagi kebanyakan orang yang mendengarnya.

Kita juga pada zaman baharu ini haruslah mengeluarkan fikiran dan berbicara atau menulis untuk masyarakat umum mengikut contoh Baginda Rasulullah, iaitu penuh dengan nilai  etika dan adab yang baik.

Baginda mempunya kawalan yang amat kuat tentang perasaan dalamannya. Ketika tersinggung, Baginda akan mengelak diri dari puncanya, atau terus berdiam diri. Namun sekiranya terdapat orang yang melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dengan perintah Allah, Baginda sering menunjukkan rasa marah dan pendirian yang tegas dalam hal ini.  Baginda amat tegas dan menunjukkan kemarahannya ketika berhadapan dengan peri laku yang menentang perintah Allah SWT, sehinggakan kemarahannya ini dapat disedari oleh orang di sekelilingnya. Ketika inilah semua orang akan merasai penentangannya yang nyata terhadap kebenaran Allah SWT. Bagaimanakah Baginda melahirkan penentangannya yang amat nyata terhadap perkara itu.

Dari satu sudut lain pula, Baginda sentiasa terlebih dahulu menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan orang. Bila bersalaman maka Baginda tidak akan menarik tangannya terlebih dahulu sebelum orang itu melepaskan tangannya.

Sesiapa yang menemuinya secara kebetulan, pasti akan memuja dan menghormatinya. Malah sesiapa saja yang bergaul dan bercampur dengan Baginda nescaya akan mencintainya. Baginda mempunyai keperibadian yang lemah lembut dari asalnya. Baginda bukanlah seorang yang kasar atau memandang rendah terhadap sesiapa sahaja.

Seandainya Baginda memandang seseorang maka Baginda akan memberikan perhatian sepenuhnya dengan seluruh wajahnya. Sekiranya seorang memanggilnya maka Baginda tidak hanya memalingkan mukanya sahaja, malah akan memberikan perhatiannya dengan seluruh jasadnya.

Ketika Baginda akan pergi berjumpa dengan seseorang, maka Baginda akan pergi menunggu di satu tempat yang berhampiran dengan orang itu. Baginda juga meminta supaya orang lain juga mengikuti caranya. Ketika Baginda mengambil tempat di sebelah seseorang, maka Baginda akan memberikan sepenuh perhatiannya kepada teman itu. Baginda juga tidak menentukan tempat duduk yang tertentu untuk rakan-rakannya. Baginda sentiasa berlaku adil  untuk semua sahabatnya, malah perbezaan di antara mereka hanyalah berdasarkan ketaatan dan perhambaan kepada Allah SWT.

Segala sesuatu yang dilakukan oleh Baginda adalah bersifat sederhana, tanpa berlebihan atau sebaliknya. Baginda tidak pernah mengkritik akan makanan dan minuman yang telah disediakan untuknya, malah tidaklah pula memberikan pujian yang melampaui batasan.

Ketika berada di rumah, Baginda akan membahagikan masanya kepada tiga perkara.  Iaitu untuk Allah, untuk keluarga dan untuk dirinya sendiri. Baginda akan bersama-sama dalam menjalankan urusan rumah tangganya. Malah ada ketikanya Baginda akan membaiki kasutnya dan menyapu lantai. Baginda berpakaian kemas dan sentiasa berbau harum.

Baginda mengisytiharkan bahawa diri Baginda dan keluarganya tidak berhak menerima sebarang harta yang diberikan orang sebagai zakat. Baginda amat mengambil berat tentang hal ini, sehingga Baginda tidak akan melantik sebarang ahli keluarganya sebagai pemungut zakat untuk orang awam.

Inilah sebenarnya sebahagian dari nilai etika dan gambaran penghayatan cara hidup baginda sebagai seorang yang berintegriti dan berakhlak mulia.

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia dan mantan Ketua Pengarah IKIM.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  6