Memujuk bujuk menyorok di belukar

 Memujuk bujuk menyorok di belukar

Oleh M Fadzly Rani

TANJUNG KARANG: Bujuk adalah spesies sama seperti ikan haruan dan toman. Ikan ini sering menjadi buruan kaki pancing yang gemar meredah semak dan hutan paya bagi mendapatkannya.

Ikan bujuk (Channa Lucius) tergolong dalam dalam spesies ikan kepala ular (snake head). Namun tubuh bujuk mempunyai corak batik yang menarik sama seperti toman. Corak dan warna bujuk lebih kepada perang, hitam dan coklat bergantung pada habitatnya.

Ikan ini mendiami kawasan paya, kolam terbiar, tasik dan aliran sungai yang berarus perlahan yang mana kadar Ph airnya rendah. Makanan pilihan bujuk ialah anak ikan, katak, rumpair, cengkerik dan cacing. Pada trip kali ini, penulis banyak menggunakan umpan tiruan getah lembut (softplastic lure) dan katak.

Kami memulakan eksplorasi menjejak untuk ‘memujuk’ bujuk seawal pagi menaiki motosikal menuju kawasan paya. Perjalanan agak mencabar kerana keadaan denai yang berlumpur dan becak sejauh 10 kilometer yang mengambil masa kira-kira sejam.

Setibanya di lokasi, ternyata kehadiran kami ke sini cukup berbaloi apabila dihidangkan dengan landskap sebenar habitat bujuk. Terdapat aliran sungai yang berarus perlahan dengan air perang kehitaman.

Tanpa membuang masa, joran dipasang dan umpan dilontar ke dalam sungai. Hanya dengan sekali balingan umpan disentap sesuatu. Umpan katak yang digunakan menghasilkan seekor ikan bujuk kira-kira 400 gram. Walaupun saiznya kecil, ikan ini cukup licik mahu meloloskan diri di celah reba di dasar sungai.  Bujuk adalah spesies ikan pemangsa yang menghambat  mangsa dengan rakus sama seperti haruan dan toman.

Kami turut beroleh hasil dengan menggunakan umpan softplastic dan gewang sesudu yang menyerupai anak ikan. Bagaimanapun, umpan katak tetap menjadi pilihan pada trip kali ini yang mana ia adalah umpan universal yang tidak akan ditolak oleh bujuk.

Memancing menggunakan umpan katak perlu mahir dengan selok-belok reba dan kayu tenggelam di sepanjang sungai. Katak perlu dihenjut-henjut beberapa kali di celah reba untuk memujuk si bujuk keluar dari sarangnya dan terus membaham umpan yang disajikan. Ternyata hasil pujukan si katak akhirnya si bujuk tertewas.

Walaupun hasil kali pertama ini tidak memberangsangkan, pengalaman mengharungi perjalanan yang penuh liku untuk sampai ke lokasi cukup menguji ketahanan mental dan fizikal. Penulis dan rakan bertekad akan ke sini lagi pada musim kering akan datang untuk melihat lebih banyak lagi bujuk dapat ditumpaskan serta meneruskan pemburuan bujuk bersaiz mega.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  3  =