Mempertahan linangkit & semangat Huminodun etnik Lotud

 Mempertahan linangkit & semangat Huminodun etnik Lotud

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

TUARAN, 28 Mac – Ramai yang merindui Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai iaitu perayaan tradisi masyarakat Kadazandusun sepanjang Mei dengan kemuncaknya sambutan peringkat negeri di kompleks kebudayaan masyarakat itu di Hongkod Koisaan, Penampang pada 30 dan 31 Mei.

Tahun lalu, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) tidak membenarkan sambutan Tadau Kaamatan berikutan pandemik COVID-19 dan ramai berharap ia dianjurkan kembali tahun ini.

Perayaan berkenaan tidak dapat dipisahkan dengan pertandingan Unduk Ngadau atau ratu cantik yang menjadi penutup dan kemuncak kepada segala acara yang mewarnai dan menjadi daya tarikan pelancong tempatan mahupun asing.

Pemenang acara Unduk Ngadau bukan saja dinilai dari sudut kejelitaan dan keunikan pakaian tradisi dan busana digunakan, malah perlu memiliki kebijaksanaan menjawab soalan dikemukakan juri sejajar semangat Huminodun.

Huminodun mengikut kepercayaan masyarakat Kadazandusun adalah seorang wanita jelita dan bijak yang sanggup mengorbankan nyawanya menyelamatkan manusia yang kebuluran akibat tanaman padi dilanda bencana alam.

Tanpa penenun `linangkit’ sudah pasti pakaian tradisi etnik Kadazandusun yang digunakan pada sambutan Tadau Kaamatan akan hilang di dunia dan tiada lagi jelmaan Huminodun setiap kali sambutan Pesta Menuai diraikan masyarakat itu.

Etnik Dusun Lotud yang mendiami daerah Tuaran adalah antara penenun linangkit yang hebat dengan kepakaran dan kreativiti menenun atau `memalangkit’ yang sarat seni, cantik, halus dan unik.

Tidak hairan, sembilan daripada 60 Unduk Ngadau peringkat negeri sejak 1960 hingga 2019 adalah daripada etnik berkenaan yang menggayakan pakaian tradisi kaumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Linangkit Cultural Village, Eldridge Baxier Jilan mengakui ketika ini majoriti penenun linangkit adalah golongan warga emas, manakala generasi muda kurang berminat mewarisinya sebagai identiti bangsa.

Katanya, sebab itulah pihaknya sentiasa menganjurkan bengkel `memalangkit linangkit’ (menyulam linangkit) dengan memberikan tumpuan kepada generasi muda supaya warisan bangsa tidak hilang ditelan zaman.

Beliau berkata, pakaian tradisi linangkit bukan saja digunakan oleh wanita tetapi juga lelaki tanpa mengira usia termasuk disarung mempelai etnik berkenaan pada majlis pertunangan dan perkahwinan mereka.

“Pemimpin Sabah termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor walaupun berbangsa Bajau tetapi pernah memakai pakaian tradisi kami dilengkapi tengkolok dan kami pasti bangga.

“Kami bercadang mengumpulkan seramai mungkin penenun linangkit untuk menghasilkan tenunan linangkit terpanjang di dunia, namun tertangguh berikutan pandemik COVID-19,”  katanya kepada Wacana.my.

Corak linangkit adalah bercirikan rupa bentuk geometri yang didominasi dengan bentuk segi tiga dan segi empat. Penggunaan warna terang seperti merah, kuning, hitam, hijau dan putih dicipta untuk mengisi setiap bentuk geometri yang dibentuk sehingga menjadi corak yang pelbagai. Corak yang dibentuk disulam secara berulang-ulang bersaiz kecil dan besar. Ia disulam secara berulang membentuk pola corak yang menimbulkan nilai estetika.

Sementara itu, seorang penenun linangkit, Emilinah Dahun, berkata untuk menyiapkan satu set pakaian tradisi etnik itu mengambil masa sehingga tiga bulan. Paling lama untuk disiapkan adalah `gonob’ (skirt) dan `kuluwu’ (selendang) kerana ia perlu ditenun rapi serta berhati-hati bagi mengelak sebarang kecacatan.

Sebab itu, katanya, satu set gonob dan kuluwu dijual sehingga RM3,500 berbanding baju hanya RM450 kerana menggunakan fabrik yang sudah siap.

Beliau berkata, permintaan pakaian tradisi etnik itu masih tinggi terutama untuk majlis perkahwinan dan Pesta Kaamatan.

“Saya akan terus ‘memalangkit linangkit’ (menenun linangkit) untuk mempertahankan seni budaya bangsa,” katanya yang menenun linangkit sejak 11 tahun lalu.

 

 

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  1