Memperkasa sektor pertanian, bukan ceburi kerana terpaksa

 Memperkasa sektor pertanian, bukan ceburi kerana terpaksa

Kredit foto MARDI

 

Oleh Dr Zulkiply Omar

 

SEKTOR pertanian memainkan peranan penting di dalam pembangunan ekonomi negara. Malaysia adalah negara bertuah dengan anugerah alam semula jadi yang kaya. Tanahnya subur sesuai untuk pelbagai tanaman tropika. Tidak hairan, ia menjadi rebutan kuasa Barat ketika era mercantalisme.

Mercantalisme menggalakkan kolonisasi. Penjajah Barat mengaut sumber pertanian negara seperti Malaysia untuk menyokong dasar perindustrian mereka. Namun demikian, Malaysia turut mendapat manfaat dari dasar tersebut. Kita memerlukan modal dan teknologi untuk membangunkan sektor pertanian. Kedua-dua faktor itu adalah terhad ketika itu.

Sektor pertanian membangun dengan pesat dengan wujudnya ladang-ladang komersial yang besar yang diperkenalkan penjajah. Ini adalah pelaburan asing terus yang strategik pada ketika itu. Kesannya, antara lain, Malaysia menjadi pengeluar getah terbesar dunia. Kemudian diikuti oleh kelapa sawit.

Pelaburan dalam sektor pertanian disambut oleh dasar kerajaan yang tuntas. Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak yang dikenali sebagai bapa pembangunan berjaya memartabatkan sektor pertanian sekali gus mempercepatkan pembanterasan kemiskinan.

Pelbagai agensi berkaitan pertanian ditubuhkan untuk menangani isu dalam sektor pertanian yang menyumbang kepada kemiskinan luar bandar yang kronik. Isu itu termasuk produktiviti yang rendah dan ketidakcekapan pengeluaran. Tanah pertanian menjadi semakin kecil dengan pertambahan penduduk dan pertanian adalah sumber pekerjaan utama. Amalan pertanian tradisi mengekang peningkatan produktiviti.

Penubuhan pelbagai agensi berkaitan pertanian telah mampu menangani isu-isu tersebut. Penerapan teknologi dan peningkatan produktiviti berlaku dengan cepat. Malaysia layak mendabik dada di atas kejayaan tersebut. Malah, ia adalah model pembangunan pertanian tropika yang perlu dicontohi.

Kini sektor pertanian bukan lagi penyumbang utama kepada ekonomi negara. Perubahan struktur telah berlaku dengan ketara. Sektor pembuatan dan perkhidmatan adalah enjin pertumbuhan ekonomi mengambil alih sektor pertanian. Perindustrian berlaku dengan pesat. Bagaimanapun, ini adalah sesuatu yang dijangka. Ia adalah perkembangan yang sihat untuk pembangunan ekonomi. Kita perlu berterima kasih di atas dasar sedemikian.

Tidak dapat dinafikan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi secara relatifnya akan menurun apabila negara melalui fasa perindustrian dan seterusnya. Namun demikian, kekuatan sektor pertanian perlu dikekalkan. Ini bermakna, kecekapan dan produktiviti perlu ditingkatkan atau sekurang-kurangnya dikekalkan.

Realitinya, pertumbuhan produktiviti sektor pertanian kini perlahan. Sektor ini masih kurang efisien. Walaupun sumbangan sektor pertanian terhadap pekerjaan semakin kecil, namun pekerja sektor pertanian diharapkan mendapat pendapatan yang lumayan. Ini tidak berlaku dengan efektif. Pekerja sektor pertanian, walaupun tidak lagi miskin tegar, mereka masih miskin relatif. Di mana salahnya?

Jawapannya, pertanian perlu diperkasakan sebagai sektor yang berdaya maju. Pada masa lampau, pertanian adalah pekerjaan pilihan terakhir. Ia dikaitkan dengan pekerjaan untuk pelajar tercicir atau untuk orang tidak bersekolah. Ia adalah pekerjaan tidak formal yang tidak mempunyai definisi yang jelas. Malah, sering petani dianggap tidak mempunyai pekerjaan bukan bekerja sebagai petani.

Langkah kerajaan memperkenalkan konsep pertanian suatu perniagaan adalah amat baik. Namun penerapannya perlu diperluaskan lagi bukan sekadar memfokuskan kepada usaha pemasaran produk. Ia perlu menyeluruh meliputi kesemua rantaian aktiviti. Yakni pertanian dijalankan sebagai aktiviti komersial.

Ini bermakna suatu perubahan minda perlu diterapkan di mana pertanian sebagai perniagaan adalah satu pilihan. Iaitu, mereka yang menceburkan diri di dalam perniagaan pertanian ini bukan kerana tiada pekerjaan lain dan kemudian berniaga untuk memasarkan hasil. Sebaliknya, ia setaraf dengan pemilihan untuk lain-lain jenis perniagaan bukan pertanian. Sekali gus, ini bermakna aktiviti pertanian adalah aktiviti keusahawanan.

Kita boleh mengambil contoh pembangunan sektor pertanian di Amerika Syarikat (AS). Pembangunan ekonomi mereka juga bermula dengan aktiviti pertanian. Sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi kini adalah kecil, namun ianya kekal produktif. Ini adalah kerana aktiviti pertanian dijalankan secara komersial dan dengan sendirinya sentiasa terdedah kepada proses inovasi  berterusan.

Banyak universiti di AS memperkenalkan bidang pengajian perniagaan tani. Bidang pengajian ini adalah untuk menyahut keperluan pembangunan usahawan pertanian. Pembangunan tersebut telah berjaya membentuk warga tani berpengetahuan. Mereka seterusnya berjaya meneruskan kegiatan pertanian keluarga dengan penerapan inovasi moden.

Malaysia telah memulakan langkah pembangunan pertanian dengan begitu cemerlang. Di samping penubuhan agensi berkaitan pertanian, penubuhan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) adalah satu langkah yang amat bijak. Walaupun kemudian UPM bertukar menjadi Universiti Putra Malaysia kerana mempelbagaikan bidang, kecemerlangan sumbangannya kepada pembangunan sektor pertanian tidak ternilai. Kejayaan UPM adalah kesinambungan dari kecemerlangan Kolej Pertanian Malaya yang bermula sebelum era kemerdekaan.

UPM telah berjaya mendidik ramai cendekiawan pertanian yang rata-ratanya diserap pelbagai agensi berkaitan pertanian yang baru ditubuhkan. Mereka banyak menyumbangkan kepada pembangunan dan pemodenan sektor pertanian negara. Di samping itu, ramai graduan UPM yang menerajui sektor pertanian komersial bertaraf multinasional.

Namun, mungkin ramai tidak menyedari, graduan pertanian UPM telah dibekalkan dengan ilmu yang cukup untuk menjadi usahawan tani atau agropreneur. Saya kurang pasti sama ada ini adalah perancangan asal atau suatu kebetulan. Apa yang pasti mereka mempunyai kebolehan untuk memoden dan mengkomersialkan sektor pertanian. Namun ianya tidak berlaku secara efektif seperti di AS yang lebih berjaya sebagai teknokrat, eksekutif dan seumpamanya.

Pertanian terus dianggap sumber pekerjaan terakhir dan terpaksa. Tidak ramai graduan berkaitan pertanian secara sukarela menceburkan diri secara aktif di dalam aktiviti pertanian. Sekali gus, proses mentransformasikan petani kepada petani yang berpengetahuan tidak berlaku. Ini adalah faktor kekangan terpenting kepada kelembapan pembangunan sektor pertanian.

Pengajaran terbesar dari sejarah pembangunan pertanian negara ini adalah perihal pentingnya pembangunan dasar yang kondusif. Pembangunan usahawan perlu berjalan serentak dengan pembangunan modal insan untuk meningkatkan daya inovasi. Manakala, inovasi pula sumber terpenting pertumbuhan ekonomi tahap tinggi. Pengajaran tersebut tidak harus dibiarkan di dalam lipatan sejarah tetapi perlu diambil iktibar.

Penulis ialah Pengarah Urusan, ECONSULT Economic Consulting Sdn Bhd (zulkiplyomar@econsult.my)

 

 

 

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  5  =  14