Memperkasa komunikasi yang bertamadun

 Memperkasa komunikasi yang bertamadun
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

 

DALAM prosesĀ  mendidik generasi Muslim yang beretika dan bermoral tinggi dalam kehidupan harian, amat banyak sekali contoh dari al-Quran dan sejarah Nabi Muhammad SAW yang boleh dijadikan teladan.

Ketika mempelajari sejarah kehidupan Nabi Muhamad SAW umpamanya, ternyata Baginda tidak bercakap sebarangan. Apa-apa yang dibicarakannya sentiasa terus kepada tajuk tanpa bercakap kosong dan melulu.

Contoh Baginda inilah yang seharusnya dijadikan cermin dan bentuk percakapanĀ yang beretika serta mengikut sistem pemusatan pemikiran yang tepat. Ini termasuk bentuk penulisan dan karya persuratan oleh kalangan pemikir mahupun karyawan semasa.

Ketika Baginda Rasulullah SAW berbicara dan memberikan penekanan mengenai sesuatu pokok percakapan, maka Baginda sering mengulanginya sebanyak tiga kali, tanpa pergerakan badan yang luar biasa.

Baginda mempunya kawalan yang amat kuat mengenai perasaan dalamannya. Ketika tersinggung, Baginda akan mengelak diri dari puncanya, atau terus berdiam diri. Namun sekiranya terdapat orang yang melakukan sesuatu perbuatan yang bercanggah dengan perintah Allah SWT, Baginda sering menunjukkan rasa marah dan pendirian yang tegas dalam hal ini.

Rasulullah SAW amat tegas dan menunjukkan kemarahannya ketika berhadapan dengan peri laku yang menentang perintah Allah SWT. Sehinggakan kemarahan Baginda ini dapat disedari orang di sekelilingnya. Ketika inilah semua orang akan merasai bagaimana Baginda melahirkan penentangannya yang amat nyata terhadap perkara itu, walau pun Baginda tidak pernah melahirkan kemarahannya sendiri, atau menggunakan pengucapan dan menterjemahkan rasa marahnya itu di dalam kata-kata yang kasar dan tidak beradab.

Hal ini amatlah penting di dalam pergaulan sosial kini. Ketika ini media rasmi atau media sosial, pengucapan ceramah dan seminar, sering dipenuhi dengan kata-kata atau luahan rasa marah dan benci yang tidak terkawal. Ia juga berlaku ketika perbuatan menaburkan fitnah yang palsu atau rekaan yang didorong oleh taksub partisan, kebencian atau cemburu dengan kejayaan orang lain malah ketika mencari keuntungan kebendaan dan rasa cemburu, serta kepelbagaian tata laku yang tidak bersopan dan tidak bermoral.

Alangkah baiknya, seandainya kalangan pemidato, penceramah, pembentang kertas, pengisian kuliah dan pengajian jangka pendek dan panjang, khutbah Jumaat dan risalah agama, dapat membawakan fakta sejarah Nabi Muhammad SAW. Adalah diharapkan mereka dapat membentangkan kepentingan sejarah kehidupan dan adab Baginda untuk menjadi teladan serta ikutan yang amat relevan dengan masa kini. Ketika mana terdapat ramai warga kita yang masih terkeliru, termasuk umat Muslim sendiri yang tidak menyedari mengenai kepentingan akhlak dan nilai moral yang baik di dalam masyarakatnya ketika berhujah dan berbincang sesuatu isu mahupun masalah.

Inilah satu aspek penekanan kita dalam zaman tekologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang begitu cepat berkembang di dalam dunia kita pada hari ini. Ia mengorbankan pemikiran dan roh yang seharusnya bersih dan murni, termasuk di kalangan masyarakat Islam sendiri, yang mungkin hanya berpegang agak kuat kepada fardu ain. Pada masa sama, mereka bagai melupakan hikmah fardu kifayah, dan nilai-nilai peradaban serta tamadun manusia yang ditunjukkan sendiri oleh Baginda Rasulullah yang kita perlu kaji dan mengambil segalah butiran mutiara kebijaksanaannya.

Sekurang-kurangnya pihak berkuasa agama serta pengurusan etika dan moral harus berusaha menganjurkan program bersama secara tetap untuk membangkitkan kesedaran ini di kalangan pendidik, ibu bapa, pendakwah dan penulis khutbah. Mereka perlu mengkaji hal ini dan mengemukakan beberapa dokumen sejarah dan tradisi agama di tangan Baginda Rsulullah SAW yang mungkin tidak dipedulikan dalam komunikasi dan pendidikan sekarang ini.

Teladan terbaik dari pucuk pemimpin dan utusan Allah inilah yang seharusnya dicontohi serta Ā dihayati dengan sebaik-baiknya sebagai satu cabang ibadat umum Islam sendiri.

 

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia dan mantan Ketua Pengarah IKIM.

Ā 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

91  −    =  85