Memikirkan Peri-Hal Ehwal Wanita (P.H.E.W.!)

 Memikirkan Peri-Hal Ehwal Wanita (P.H.E.W.!)
Oleh Irwan Abdul Rahman
PAGI ini ketika dalam perjalanan ke pejabat di Damansara, saya menelefon ibu saya di Alor Setar untuk bertanya khabar. Alhamdulillah, Mama dan Ayah sihat-sihat belaka, walaupun sedikit bosan mengira dan merindui hari-hari  ‘tanpa-PKP’ di mana mereka bebas beriadah dan bersenam bersama rakan-rakan di perkarangan Masjid Sultanah Bahiyah. Seperti yang dijangka, Mama bertanya adakah saya berbual telefon sambil memandu, dan saya menjawab, “Pakai handsfree, mama. Jangan risau…” sambil ketawa.
Itulah ibu, senantiasa merisau kesihatan dan keselamatan anak-anak, walaupun anak yang umur dah nak masuk setengah abad. Tambahan lagi, Cikgu Jamsiah yang terkenal dengan ‘garang dalam kelembutan’ di kalangan bekas-bekas pelajarnya itu, tak akan hilang sifat penyayang dan prihatin terhadap ‘anak-anak’ beliau, tak kira berbin atau berbinti siapa.
Sambil berbual ceria dan berlawak jenaka tentang pelbagai topik rambang, saya juga mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada Mama. Mungkin tak ramai yang ingat tarikh istimewa 8 Mac ini, kalau tak diingatkan. Saya sendiri pun ingat sebab terlintas dengan satu posting dalam Facebook minggu lepas.
Setelah habis panggilan itu, saya terus memikirkan hal ini. Nasib wanita. Perihal wanita. Pemahaman tentang wanita, terutamanya di Malaysia.
Dalam merancang dan menjalankan laman berita Wacana.my ini, banyak kali diutarakan tentang hal-hal berkenaan wanita yang boleh ‘diwacana’ di platform ini. Salah satu misi utama kami adalah untuk membantu membawa perubahan positif dalam masyarakat, dan seperti yang kita tahu, terlalu banyak perubahan positif yang amat diperlukan oleh golongan wanita di negara kita.
Isu hak wanita sebagai individu, ibu, isteri dan pekerja misalnya. Setiap hari, kita dengar banyak kes-kes di mana wanita dianiayai oleh suami, teman lelaki, keluarga sendiri dan masyarakat setempat. Dari segi nafkah zahir dan batin, hak-hak dalam nikah dan cerai, keselamatan sosial dan perlindungan dari keganasan, kesihatan mental dan emosi, masih banyak yang boleh diperbaiki.
Walaupun kerajaan sentiasa membawa pelbagai penambahbaikan dalam perihal hak wanita, masih banyak lompang yang perlu dipenuhi dari segi perundangan, pelaksanaan polisi dan program, serta sokongan masyarakat. Kita tak boleh menafikan bahawa ramai di antara golongan yang tertindas di dalam masyarakat kita terdiri dari wanita.
Namun yang paling ketara adalah betapa kurangnya ilmu dan pendedahan di kalangan wanita sendiri tentang hak mereka (dan secara automatiknya, tentang tanggung jawab para suami, ibu bapa, majikan dan masyarakat terhadap wanita).
Misalannya, berapa ramai antara kita, terutamanya wanita Islam di negara kita faham sebetul-betulnya tentang hukum fara’id, wasiat dan hibah? Kebanyakan dari kita tak mengambil berat sangat hal ini kerana kita menyangka, “pandai-pandai la kita ikut undang-undang kalau apa-apa jadi,” bukan? Ia mungkin terlalu rumit untuk difahami, atau kita lebih suka mengambil jalan mudah dengan membiarkan ‘sistem’ seperti KWSP, pencen dan lain-lain menjaga kebajikan tanggungan kita selepas kita tiada. Ataupun, mungkin kebanyakan dari kita tak mahu memikirkan hal-hal mati dan selepas mati ini kerana ia terlalu sedih dan seram?
Tetapi apa yang kita lihat adalah, ramai wanita (dan anak-anak) menjadi mangsa kerakusan ahli keluarga dan sanak saudara sendiri apabila suami atau bapa yang menjadi tonggak keluarga meninggal dunia. Segala harta peninggalan menjadi rebutan, walhal si balu dan anak-anak si mati bergelut nak meneruskan kehidupan. Akibat dari tak merancang kewangan dengan teliti, kes mahkamah berpanjangan dan akaun dibekukan dek tuntutan pelbagai pihak, terutamanya kes yang melibatkan keluarga yang ‘tidak konvensional’ seperti isteri kedua/ketiga/keempat, anak-anak angkat atau tiri dan sebagainya. Si adik abang seronok bermimpi kenduri ala selebriti dengan durian runtuh harta peninggalan, tetapi langsung tidak teringat tentang tanggung jawab dan amanah terhadap si isteri dan anak-anak yatim yang menunggu dibela?
Bagaimana pula hak wanita di tempat kerja? Berapa ramai kakak-kakak, adik-adik dan anak-anak perempuan kita yang menjadi mangsa diskriminasi gender? Itu baru perihal ketidakseimbangan gaji dengan lelaki, representasi dalam kepimpinan organisasi dan keperluan wanita – belum masuk gangguan seksual dan ancaman keganasan lagi. Perjalanan untuk memastikan wanita mendapat ‘equal pay for equal work’ (pendapatan sama bagi kerja yang sama), disamping keadaan tempat kerja yang profesional, selamat dan kondusif, masih jauh.
Banyak lagi aspek wanita yang perlu diperbaiki, dan mungkin tak disentuh di sini. Masalah anak luar nikah. Isu kahwin paksa. Masalah jenayah terhadap wanita. Keperluan wanita di dalam fasiliti dan kemudahan awam. Hal-hal penyakit dan kesihatan perempuan serta kesedaran bagi mengelakkan jangkitan. Insya Allah, Wacana.my akan memaparkan isu-isu ini dan membawa pakar-pakar berwibawa untuk bersama mengembleng tenaga mencari jalan penyelesaian.
Bagi memartabatkan wanita – ibu kita, kakak-kakak dan adik-adik kita, anak-anak gadis kita – kita sebagai satu masyarakat perlu pertamanya sedar dan menerima fakta, bahawasanya masalah ini wujud dan masalah ini serius. Ia bukan sekadar menyambut hari istimewa sekali setahun, dengan memberi bunga atau kad berwarna merah jambu.
Paling penting sekali, kita perlu sedar masalah yang menimpa separuh daripada populasi kita ini tidak akan dapat diselesaikan tanpa kerjasama semua lapisan masyarakat, tak kira jantina.

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  3  =