Membina pekerja teknologi dan ekonomi masa depan

 Membina pekerja teknologi dan ekonomi masa depan

Oleh Mohd Kamal Ahmad

HARI Pekerja 1 Mei 2021, disambut hari ini. Ia bukannya setakat mengisytiharkan hari cuti umum untuk kira-kira 15.5 juta pekerja yang membangunkan negara ini dengan cara sendiri. Yang diiktiraf dan dihargai kini bukan sahaja kesetiaan, kerja kuat mahupun titis keringat mereka.

Tetapi tiba masanya tiga pihak – kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja selaku tripartite untuk mencari dan memberi manifestasi baharu kepada peranan serta sumbangan pekerja ini. Seiring norma baharu di tempat kerja, pertumbuhan ekonomi digital serta pesatnya Revolusi Industri 4.0, pekerja kini perlu dilihat sebagai penggerak ekonomi baharu masa depan yang berteraskan digital. Dunia baharu. Kemahiran baharu.

Tripartite ini perlu lebih kerap dan serius berbincang. Untuk jangka segera, mereka perlu mencari jalan untuk melakukan anjakan paradigma kepada seluruh tenaga kerja di negara ini. Pekerja mesti dijenamakan semula. Program peningkatan kemahiran dan latihan mereka mesti dilaksanakan segera. Potensi mereka mesti dioptimumkan serta prestasi mesti seiring perubahan zaman serta meraih pendapatan tinggi.

Selain itu, hala tuju negara, industri serta pasaran mesti dijajarkan semula dan perlu lebih jelas. Dan, akhirnya perlu ada kesungguhan majikan atau ketua jabatan untuk menyusun semula atau membina semula organisasi supaya berdaya saing dan kalis masa depan. Pekerja dan organisasi lebih berdaya saing dalam mengharungi cabaran dekad 2020-an yang sangat berbeza serta lebih sengit ini.

Untuk itu, semua pihak termasuk tripartite tersebut harus bersedia, berfaham-faham serta berlapang dada untuk memula dan mengembangkan satu polar pemikiran dan tingkah laku baharu terhadap bentuk kerja baharu yang muncul sekarang dengan berorientasikan dunia baharu, kemahiran baharu.

Pekerja di negara ini sudah streotaip. Perlu ada content, pembaharuan dan naratif baharu bagi perjalanan baharu seorang pekerja. Jadi, laksanakan transformasi pekerja di negara ini. Situasi baharu kini dan masa depan seharusnya mendorong majikan dan ketua jabatan memikirkan semula bagaimana pekerja mereka boleh bekerja dengan lebih cekap, tangkas dan lancar untuk meraih kejayaan organisasi.

Dunia digital sekarang bukan sahaja mewujudkan peluang-peluang baharu tetapi mencipta jurang celik digital. Pekerja di negara ini perlu memiliki kemahiran dan menguasai teknologi digital mengikut skop kerja. Dekad 2020-an menuntut setiap pekerja dapat hidup, belajar, bekerja serta mengambil bahagian dalam dunia digital ini. Mereka tidak boleh menjadi pengguna atau penonton semata-mata. Mereka mesti menyumbang kepada pertumbuhan.

Tercetusnya pandemik COVID-19 sejak 2020, dengan jelas telah mewujudkan persoalan iaitu apakah kemahiran yang dimiliki pekerja dan apakah keperluan kemahiran baharu yang diperlukan untuk pekerjaan dalam dunia digital sekarang.

Majikan tidak sewajarnya membiarkan wujud garis pemisah dalam masyarakat di mana sekumpulan adalah sebahagian daripada ekonomi baharu dan satu lagi mereka yang tidak mampu menyertainya.

Realiti ini sangat serius dan dinamik kerana teknologi terus meninggalkan pekerja dan organisasi kekal di takuk lama. Maka wujud sekelompok besar organisasi dan pekerja yang tidak berupaya melakukan apa-apa kerja berasaskan teknologi, konsep, trend dan permintaan baharu. Ingat, teknologi mengambil alih kerja dan meminggirkan peranan pekerja!

Untuk keperluan semasa, kerajaan bersama majikan dan persatuan sekerja perlu melakukan sesuatu dengan kadar segera untuk merapatkan jurang digital yang wujudkan sekarang. Ini bukan lagi soal peruntukan besar untuk memperkasakan kemahiran dan keupayaan pekerja tetapi ini satu pelaburan untuk masa depan syarikat atau organisasi.

Oleh itu, tripartite ini bertanggungjawab untuk melindungi pekerjanya dengan memberikan kemahiran dan latihan yang sewajarnya bagi membolehkan mereka cemerlang bersama organisasi masing-masing. Kita mesti ingat, polar pekerjaan berubah dengan pantas, tidak menentu serta mencabar masa depan.

Pada masa sama, penting bagi komuniti pekerja untuk bersikap terbuka, sedia untuk belajar dan mereka bersedia mempertingkatkan kemahiran diri sendiri. Sebab realitinya ialah kita tidak mahu wujud satu masyarakat yang ketinggalan atau keciciran dalam era ekonomi dan teknologi baharu ini sehingga negara akhirnya hilang daya saing dan pertumbuhan seterusnya terkeluar dari pasaran.

Manakala untuk jangka panjang, tripartite itu bersama peneraju sektor pendidikan awam dan swasta wajar digabungkan untuk melakarkan semula dasar, aspirasi dan sistem baharu pendidikan negara yang mampu melahirkan tenaga kerja kebolehpasaran tinggi, berdaya tahan dan berdaya saing untuk menyertai masa depan. Pokoknya, anak watan yang dilahirkan daripada dasar baharu itu mampu menyertai dan menyumbang kepada pertumbuhan masa depan. Dan, sama penting di sini ialah apakah pekerjaan baharu yang diwujudkan oleh sistem pendidikan baharu nanti.
Belajar daripada pengalaman dasar pendidikan sekarang dan saksikan hasilnya…

Jika tripartite ini enggan atau gagal membina pekerja baharu menerusi dasar pendidikan yang baharu, maka tenaga kerja yang memasuki pasaran adalah mereka yang tidak berupaya memenuhi permintaan tenaga kerja di pasaran. Apabila mereka tidak efisien , relevan dan berdaya saing maka kesannya akan berbalik kepada syarikat atau orgnisasi di mana akhirnya, semua akan gagal serta terpinggir dari pasaran dan arus perdana dunia era baharu ini.

Justeru, carilah pengertian baharu sempena Hari Pekerja 2021 ini kerana pekerja adalah aset terpenting.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +    =  11