Membina keselamatan politik Peribumi abad ke-21

 Membina keselamatan politik Peribumi abad ke-21

Oleh Ruhanie Ahmad

Foto BERNAMA (sekadar hiasan)

KESELAMATAN dan kekuatan politik Peribumi Malaysia pada abad ke-21 ini terumbang-ambing setelah kejatuhan Barisan Nasional (BN) dan menjadi lebih kucar-kacir bila kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguasai tampuk pemerintahan negara. Lantas, keputusan BERSATU menamatkan perkongsian kuasanya dengan PH pada 24 Februari 2020 adalah tindakan nekad dan bijaksana demi kepentingan peribumi seluruhnya.

Tindakan itu meranapkan satu pemerintahan yang menghimpit BERSATU dalam usahanya memperjuangkan nasib serta masa depan umat peribumi Malaysia. Ia juga menamatkan satu pemerintahan yang kelihatannya berusaha keras untuk memperkasakan politik Malaysian Malaysia menerusi Deklarasi Setapak 1967. Hakikat di atas membuktikan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah penyelamat kepada umat Peribumi, Melayu dan Islam sama ada dari segi keselamatan politik mahupun dari sudut keselamatan sosioekonomi mereka pada era digital ini.

Justeru, Muhyiddin bukan pemimpin oportunis atau mementingkan diri. Beliau menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi umat Peribumi dalam kerangka Malaysia yang berbilang kaum dan keturunan. Sehubungan itu, elok dituntasi kenapa BN jatuh dan PH runtuh? Peribumi perlu mengambil iktibar daripada dua musibah berkenaan. BN adalah pewaris Perikatan yang mengasaskan kemerdekaan negara, penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan pembentukan strategi serta dasar pembinaan negara bangsa, termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB).

BN juga gabungan parti politik berasaskan kaum dan agama yang berwibawa. Perjuangannya yang berindukan UMNO adalah berteraskan semangat kontrak sosial, prinsip demokrasi perkongsian kuasa secara berparlimen, dan prinsip Raja Berperlembagaan. Model politik BN paling sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai negara majmuk. Hakikat ini menjadi sumber kekuatan BN dan menyebabkan Perikatan dan BN menguasai pemerintahan Malaysia selama 61 tahun.

Namun BN kehilangan kuasa menerusi PRU14 akibat faktor berikut:

Pertama, semangat setia kawan di kalangan komponen asalnya – UMNO, MCA dan MIC – merapuh pada abad ke-21. Kedua, segelintir pembesar UMNO kelihatan hilang arah dan punca. Kekuatan dan wibawa UMNO selaku induk BN terabai. Segelintir elit UMNO dicemari tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Ketiga, perjuangan menegakkan kebenaran dalam UMNO menjadi punca perpecahan. Pejuang kebenaran seperti Muhyiddin, disingkirkan. Sebaliknya, puak terpalit kemungkaran dijunjung dan diagung-agungkan. Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, digadaikan demi nafsu serakah peribadi.

Keempat, MCA seolah-olah telah diracuni dakyah politik Malaysian Malaysia. Pejuangannya kelihatan bukan lagi untuk rakyat dan negara. Sebaliknya, untuk membuktikan siapa lebih hebat daripada DAP. Semangat setia kawan, kontrak sosial dan demokrasi perkongsian kuasa nampaknya dipinggirkan begitu sahaja. Kelima, MIC nampaknya lebih dipengaruhi perjuangan segelintir elit NGO kaumnya. Khususnya, profesional perundangan dan gerakan masyarakat sivil yang seolah-olah mendewa-dewakan nilai-nilai sejagat.

Perkembangan di atas, mulai dekad akhir abad ke-20, semakin lebih ketara pada abad ke-21. Akibatnya, UMNO yang dituntut memperjuangkan hak Peribumi selaku 69.9 peratus warga negara Malaysia, digerhanai karenah politik kaum Cina yang 22.6 peratus, dan digegarkan suara politik kaum India yang hanya 6.9 peratus. Kesannya, digniti Peribumi terhakis tanpa pembelaan yang megah dan gagah. Keselamatan politik peribumi terancam. Bumi Melayu seolah-olah dikuasai oleh orang lain. Hakikat ini sukar diperbaiki atau dipulihkan tanpa penyatuan roh dan jiwa peribumi secara terancang, berkesan dan menyeluruh, terutamanya menerusi gagasan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Namun demikian, kerajaan PH yang menggantikan BN, tersungkur pada 24 Februari 2020, akibat faktor berikut. Satu, kerajaan PH tidak berindukan roh, semangat dan jiwa peribumi. Ia kelihatan didominasikan oleh politik Malaysian Malaysia dan politik percakaran kuasa. Dua, hakikat di atas menyebabkan roh, semangat dan jiwa peribumi yang diperjuangkan oleh BERSATU dalam PH; dihimpit, didera, diugut dan cuba dilunturkan. Tiga, walaupun Perdana Menteri serta segelintir menteri kanan dalam Kerajaan PH mewakili peribumi, perjuangan keperibumian mereka dalam PH amat terhad dan dikongkong oleh politik Malaysian Malaysia dan politik liberal.

Empat, manifesto PH untuk PRU14 banyak menumpu kepada pembelaan identiti nasional Malaysia. Namun hakikatnya hanya janji kosong. Sebaliknya, perjuangan Malaysian Malaysia seolah-olah diberikan roh, semangat dan jiwa baharu menerusi slogan Malaysia Baharu yang disebut sepintas lalu dalam manifesto PH. Lima, serangan dan polemik terhadap jati diri nasional dan politik identiti di era PH meningkat dan disasarkan kepada BERSATU, UMNO dan PAS. Kononnya, ia sebab parti-parti politik ini menggalakkan sikap rasis dan pelampau Islam. Enam, Lim Kit Siang cuba ‘re-set’ atau merubah dasar pembinaan negara bangsa Malaysia yang berpaksikan semangat, roh dan jiwa Peribumi supaya mengikut acuan politik Malaysian Malaysia.

Lim Guan Eng cuba menyamatarafkan Bahasa Melayu dengan Mandarin dalam urusan Kerajaan PH. Kulasegaran pula cuba mengulangi suara Lee Kuan Yew pada 1964, bahawa Melayu adalah pendatang. Tujuh, institusi pendidikan swasta di era PH diberikan bantuan dana awam menerusi Kementerian Kewangan. Lapan, Ronnie Liu memprovokasi kebencian Peribumi terhadap kezaliman Parti Komunis Malaya (PKM) dengan menghadiri majlis anjuran saki-baki PKM. Sembilan, institusi Yang di-Pertuan Agong, Institusi Raja-Raja Melayu dan institusi Islam diserang, dipolemik dan dipertikaikan secara tersirat oleh proksi parti tertentu dalam PH. Sepuluh, usaha Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Datuk Seri Azmin Ali untuk memperkasakan sosioekonomi Peribumi disifatkan oleh proksi parti tertentu dalam PH sebagai rasis dan mencanggahi semangat Malaysia Baharu. Sebelas, institusi berkaitan ekonomi, perniagaan dan pembangunan modal insan peribumi, termasuk Lembaga Tabung Haji, MARA, Felda dan Khazanah Nasional mengalami tindakan asset stripping atau pelupusan aset atas alasan reformasi. Pemimpin siasah Peribumi, khususnya BERSATU menginsafi hakikat pemerintahan PH yang tidak berindukan roh, jiwa dan semangat Peribumi, akan ranap.

Lantas, tindakan BERSATU meninggalkan kerajaan PH adalah tepat, perlu dan tidak salah. Kejatuhan kerajaan BN dan keruntuhan kerajaan PH di atas mencetuskan pelbagai iktibar kepada umat Peribumi, Melayu dan Muslim yang kini mendukung PN. Satu, Malaysia sebagai negara majmuk tidak sekali-kali boleh diperintah oleh kerajaan yang tidak berindukan semangat, roh dan jiwa Peribumi. Keruntuhan PH adalah dalil utamanya. Dua, hanya kerajaan berindukan Peribumi sahaja yang boleh memerintah Malaysia secara adil, aman dan damai. Dalilnya adalah kerajaan BN yang mentadbir Malaysia selama 61 tahun. Tiga, kerajaan yang mempunyai semangat, roh dan jiwa Peribumi akan runtuh jika sesetengah pembesarnya dikuasai neopotisme, rasuah dan salah guna kuasa. Kejatuhan BN di bawah pentadbiran Datuk Sri Najib Tun Razak adalah contoh paling utama. Empat, jati diri nasional Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mungkin terhakis dan musnah jika Malaysia diperintah kerajaan bukan berindukan Peribumi. Tanda-tanda nyata telah muncul di era PH.

Lima, trend dan evolusi ke arah kemunculan sistem politik dua parti dalam politik dan pemerintahan negara mula diabsahkan oleh pengundi Malaysia dalam PRU14. Namun sesuatu pemerintahan dalam sistem ini cuma akan kekal jika ia mempunyai semangat, roh dan jiwa Peribumi; serta tidak rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa. Sekali lagi, kejatuhan BN dan PH adalah contohnya.

Berdasarkan iktibar di atas, seluruh iltizam dan matlamat BERSATU untuk mewujudkan pemerintahan Malaysia yang berasaskan semangat, roh dan jiwa Peribumi mesti diperkukuh dan diperkasakan. Lantas, Kerajaan PN yang muncul daripada kelemahan dan kemelut di atas perlu memperincikan iktibar ini untuk memperkasakan keunggulan politik Peribumi di abad digital ini. Lantaran itu, umat Peribumi Malaysia mesti menyumbang kepada usaha kerajaan PN untuk menghapuskan tiga kelompok berikut yang sedang mengancam kelangsungan PN.

Kelompok pertama adalah mereka yang sedang ghairah memihak kepada individu terpalit rasuah untuk menyelamatkan kepentingan peribadi. Kelompok kedua, membabitkan golongan kiasu yang gila kuasa dan memiliki tentera siber yang besar untuk menabur dakyah dan fitnah bagi menumbangkan PN. Kelompok ketiga, melibatkan organisasi pro-pembangkang atau tajaan kuasa ghaib yang mahu pemerintahan PN dihuru-harakan.

Mereka bergerak secara tersirat untuk membelah apa yang sedang retak dalam konteks perpaduan politik dan keselamatan politik Peribumi. Namun, pentadbiran Muhyiddin dan kerajaan PN mampu memperkasakan keselamatan politik Peribumi Malaysia abad ini jika seluruh tokoh dan parti politik Peribumi bersatu untuk menyelamatkan Malaysia dari sebuah kerajaan yang tidak peka kepada nasib dan masa depan umat Peribumi.

Datuk Dr Ruhanie Ahmad, selaku penganalisis pertahanan dan keselamatan nasional, adalah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor 1990-2004

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi wacana.my)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

37  −    =  27