Memandu secara berbahaya: Mahkamah Rayuan kekal keputusan bebaskan juruteknik

 Memandu secara berbahaya: Mahkamah Rayuan kekal keputusan bebaskan juruteknik

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Mahkamah Rayuan pada Isnin mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan seorang juruteknik daripada pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian seorang pembonceng motosikal enam tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Has Zanah Mehat menolak rayuan pendakwaan untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi membebaskan Mohamad ‘Atif Izzat Ajizi selepas mencapai keputusan majoriti 2-1.

Keputusan itu menyaksikan Has Zanah dan Datuk Abu Bakar Jais menyokong manakala Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menentang.

“Tidak ada merit dalam rayuan pendakwaan, oleh itu keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Has Zanah.

Mohamad ‘Atif Izzat, 26, yang merupakan pelajar ketika kejadian, mengucapkan terima kasih kepada panel hakim selepas keputusan rayuan itu diumumkan.

Mohamad ‘Atif didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Mohd Tajul Din Amran di Jalan Gong-Kemubu, Machang, Kelantan pada kira-kira 6.40 pagi 26 Sept 2015.

Penunggang motosikal yang juga seorang guru, Mahmad Kamel Ishak, bagaimanapun terselamat dalam insiden itu dengan mengalami kecederaan.

Pada 2 April 2018, Mahkamah Majistret mendapati Mohamad ‘Atif bersalah dan menjatuhi hukuman penjara dua tahun serta denda RM5,000 atau 12 bulan penjara.

Pada 29 Sept 2019, Mohamad ‘Atif telah dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan beliau untuk mengenepikan sabitan dan hukuman terhadapnya yang menyebabkan pendakwaan mengemukakan rayuan.

Mohamad ‘Atif diwakili peguam Raja Mohd Afiq Raja Azmi dan Wan Norfarhan Liyana Wan Baharuddin manakala Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farhana Khalid hadir bagi pihak pendakwaan.
— BERNAMA

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *