Memahami falsafah Keluarga Malaysia

 Memahami falsafah Keluarga Malaysia

UCAPAN sulung Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob tentang ‘satu keluarga’ untuk kesatuan rakyat berbilang etnik dan agama bukanlah hanya ditafsirkan sebagai rujukan kepada satu golongan penganut agama dan satu keturunan kaum yang tertentu. Sebagai satu keluarga maka setiap anggota keluarga  mempunyai kelemahan dan kekuatannya yang tertentu. Janganlah kerana ungkapan tersebut maka orang akan menuding jari kepada penganut Islam seperti tudingan jari Amerika Syarikat kepada Taliban atau anggota al-Qaeda. Malah tidaklah pula akan dituding jari kepada kaum lain dari Bumiputra sebagai pengkhianat dan punya agenda untuk menjatuhkan kaum lain.

Malaya mencapai kemerdekaan setelah dijajah oleh pihak Britisah. Penjajahan Bristish dan Barat umumnya amat berhati-hati agar negara yang diberikan kemerdekaan itu mestilah dibentuk sebagai negara sekular dan liberal mengikut dasar Barat, dan tidak ‘disempitkan’ pula kehidupan rakyatnya dalam ajaran dan amalan ‘agama’. Hal ini amat ternyata dalam sejarah klasik dan baru tentang dasar penjajahan yang mengamalkan dasar ‘pecah dan perintah’.

Namun proses untuk mencapai kemerdekaan yang ditangani oleh pemimpin kita ketika itu iaitu yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj nampaknya amat unik dan sepadu dengan golongan kaum terbesar di Malaya ketika itu sehingga telah disepakati supaya Perlembagaan Malaya digubal sebegitu rupa dengan mengekalkan identiti bangsa dan agama rakyat seluruhnya, hak istimewa, dasar pendidikan, bahasa rasmi dan corak pemerintahan lainnya yang menunjukkan kelahiran sebuah negara yang berdaulat.

Banyak negara lain yang dimerdekakan oleh penjajah Barat telah berusaha memodenkan dasar kepimpinan negara masing-masing dengan menghapuskan sistem pemerintahan beraja, dan menggantikan dengan pemerintahan repbublik yang diketuai oleh presiden dari kalangan rakyat biasa. Tetapi Malaya tetap mengekalkan pemerintahan beraja dengan mengekalkan kedudukan Raja-Raja Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa semua rakyat dan ketua kaum masing-masing tetap bersama Perdana Menteri, termasuk di dalam keputusan dasar yang lain.

Pada umumnya keseluruhan rakyat negara ini menyedari tentang hubungan agama dengan budaya negara dan rakyat berbilang agama di sini, malah negara juga berjaya menempah sejarah yang baik dalam pendidikan agama di segala peringkat, juga kelahiran sekolah-sekolah agama dan pusat-pusat tahfiz juga adalah merupakan usaha pihak Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang diketuai oleh Raja negeri masing-masing.

Budaya dan amalan agama semua kaum juga dibenarkan berkembang dan bergerak bebas dalam kalangan kaum masing-masing dari sudut amalan ibadat dan pusatnya masing-masing, termasuk penubuhan sekolah untuk kaum Cina dan India yang dikenali sebagai Sekolah Jenis Kebangsaan (SMK). Malah terdapat percampuran pelajar juga di dalam sekolah aliran jenis kebangsaan yang melahirkan graduan yang pandai berbahasa selain dari Bahasa Kebangsaan.

Harap dasar ini akan difahami oleh semua ahli keluarga negara kita di dalam semua bidang pekerjaan dan aliran politik kepartian negara ini, tanpa menyimpan sebarang perasaan cemburu dan syak wasangka, jauh sekali dari mempunyai niat untuk menghapuskan kepercayaan penganut agama yang berbeza, atau keturunan yang lain.

Dasar kepelbagaian dalam kesatuan ini merupakan dasar universal yang seharusnya difahami dan dilaksanakan oleh semua golongan rakyat dengan penuh ikhlas, amanah dan penuh kesetiaan kepada negara dan pihak berkuasa di negara kita yang unik ini, ketika semua rakyat telah diberikan kefahaman tentang amalan sebagai satu keluarga sekarang ini.

Kalau pun negara ini mempunyai rakyat yang beragama Islam, namun haruslah difahami dengan sebaik-baiknya bahawa umat Islam negara ini bukanlah umat yang terdedah atau terpengaruh dengan aliran keganasan atau mempunyai ideologi agama yang dipandang sebagai ideologi berbahaya dan mengancam kedudukan kaum yang lain.

Kita mempunyai ajaran yang bertamadun dalam aliran agama, pusat-pusat pengajian segala peringkat dalam bidang ajaran Isam tidak mengemukakan sebarang ideologi yang dikatakan sebagai ideologi keganasan agama dan kaum yang menyeleweng dari hukum agama yang sebenarnya, seperti konsep dan takrifan jihad yang tidak menepati takrifannya yang betul atau sebarang petua hukuman yang didakwa sebagai ajaran agama dalam pandangan serta hubungan dengan bukan Islam, sedangkan pengajaran itu bukanlah dari ajaran yang betul dari perspektif agama.

Di negara kita hal ini tidak merupakan ancaman yang nyata, kerana umat Islam, khususnya generasi muda, sering menerima pengajaran yang berbentuk ilmu pengetahuan agama yang betul dan sahih, tidak dipengaruh dengan kefahaman yang menyeleweng dalam agama dan budaya sendiri, maka ini membentuk perhubungan keluarga yang utuh dan jujur.

Tegasnya semua warga negara haruslah memahami had dan sempadan bertoleransi dan berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara dan undang-undang, seterusnya bernaung di bawah kedaulatan Raja-Raja Melayu yang adil dan saksama.

Nilai Islam yang diamalkan dengan sebenarnya di dalam dunia ini adalah merupakan nilai universal yang bermanfaat untuk semua bangsa dan kepelbagaian agama. Persidangan tahunan Parlimen Agama Sedunia (Parliament Of World Religions) yang diadakan setiap tahun di Amerika Syarikat dan di negara Barat lainnya, sering menekankan bahawa nilai bersama universal seperti ‘tidak bercakap bohong, menipu, mencuri dan merompak’ serta amalan lain yang tidak mempunyai nilai integriti umumnya,  adalah merupakan nilai-nilai sejagat yang menjadi amalan semua agama dan semua bangsa yang bertamadun.

Falsafah keluarga negara kita juga adalah merujuk kepada sikap dan amalan yang bermoral, beretika dan berperadaban yang baik bagi budaya kita, juga  tamadun dunia umumnya.

Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *