Melompat daripada motorsikal terserampak gajah

 Melompat daripada motorsikal terserampak gajah

Sekadar ilustratsi

Oleh Nurman Nasyriq

KLUANG, 26 Jan: Beliau pernah terserempak gajah masa balik dari masjid waktu Mahgrib dan Subuh. Apa yang beliau mampu lakukan ialah melompat daripada motosikal dan berlari masuk rumah kerana jaraknya dengan haiwan terlalu hampir.

“Mujur tiada apa-apa,” demikian cerita seorang penduduk Kampung Orang Asli Punjut, Linjit Abdul Rahman, yang terserempak dengan gajah, kelmarin.

Beliau berkata, pada biasanya gajah yang masuk ke kawasan kampung secara berkumpulan tidak mengganggu penduduk atau merosakkan rumah.

“Tapi kita jangan cakap besar. Setakat ini tiada kejadian buruk berlaku. Biasanya gajah masuk kampung dan makan pisang, ubi dan umbut serta pucuk daun kelapa sawit,” katanya.

Dalam masa terdekat ini, sudah empat kali kumpulan gajah masuk ke kampungnya. Apatah lagi bila musim banjir sekarang, gajah-gajah itu tidak boleh mengharung Sungai Kahang dan ia berkeliaran di sekitar kampung.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban ketika dihubungi berkata, penduduk tidak perlu lagi bimbang dengan kehadiran gajah di kawasan kampung kerana jumlahnya semakin kurang selepas banjir surut.

Beliau menganggarkan sebelum ini lebih 50 ekor gajah terperangkap dalam kawasan ladang kelapa sawit seperti di Kampung Sri Lukut, Kahang dekat sini dan tidak dapat bergerak kerana banjir.

Kumpulan gajah itu dipercayai sedang menuju ke habitat asal di Hutan Simpan Lenggor tetapi terperangkap kira-kira seminggu kerana tidak dapat mengharung Sungai Kahang akibat paras air yang tinggi.

Tinjauan dron PERHILITAN Johor

Tinjauan Perhilitan menggunakan dron berjaya mengesan enam ekor gajah di kawasan itu. Jabatan itu mendapati, lebih 50 ekor gajah yang bergerak dalam satu kumpulan sebelum ini sudah terpecah-pecah kepada beberapa kumpulan kecil dan dipercayai sudah masuk semula ke Hutan Simpan Lenggor.

Sebelum ini, kumpulan gajah itu muncul di Kampung Contoh, Kampung Batu 28, Kampung Sri Lukut dan Kampung Pinggir serta menjadi tular hingga membimbangkan penduduk setempat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

12  +    =  22