Melayu perlu agenda, perjuangan baharu

 Melayu perlu agenda, perjuangan baharu

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Bangsa Melayu perlu ada perjuangan baharu tanpa meninggalkan perjuangan politik dan perlu membina agenda untuk memartabatkan bangsa serta agama, demikian ditegaskan oleh veteran politik dan pendakwah, Dato’ Nakhaie Ahmad.

“Melayu perlu ada perjuangan baharu tanpa meninggalkan perjuangan politik. Melayu perlu gerakan dakwah besar-besaran untuk selamatkan perjuangannya dan perjuangan politiknya. Tetapi bukan dakwah yang hanya nak betulkan wuduk dan bersuci haid dan nifas. Dakwah yang dimaksudkan ialah kesedaran tanggungjawab sebagai Muslim dan peranan sebagai umat terbaik,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya bangsa Melayu dan pemimpinnya berpegang teguh kepada ikatan silaturahim dan mengelakkan persengketaan yang menjadi punca kegagalan serta kelemahan mereka.

Katanya, parti-parti Melayu dan Islam juga tidak mempunyai sebarang agenda. Justeru, parti dan bangsa Melayu tidak ada tertib dan tidak mampu melangkah secara berurutan yang membawa kejayaan.

“Apakah agenda UMNO, PAS dan (parti) lain dalam usaha mencorak acuan negara dan matlamat pembangunannya? Apa agenda mereka untuk memartabatkan bangsa dan agama? Tidak ada. Yang ada agenda peribadi. Politik Melayu dah rosak. Melayu perlu ada perjuangan baru tanpa meninggalkan perjuangan politik,” katanya kepada Wacana.my.

Nakhaie berkata demikian ketika menjawab 14 soalan yang dikemukakan Wacana.my mengenai Melayu dan politik mereka yang dilihat sangat ‘mencemaskan’ gara-gara politiking serta perpecahan sesama sendir.

“Usaha bersatu hanya dengan deklarasi semata-mata tidak berkesan,” katanya sambil menambah, masih ada peluang untuk mereka membetulkan keadaan kerana sesuatu krisis lazimnya boleh memberi kesedaran.

Sebaliknya menurut beliau, BERSATU bersama UMNO dan PAS perlu membentuk agenda bersama berpaksikan Islam untuk mentadbir masyarakat majmuk di Malaysia, agenda untuk kemakmuran bersama dan keadilan yang merata.

“Gerakkan tenaga bersama semua parti untuk memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai agenda itu. Gemblengkan tenaga mereka untuk sama-sama melaksanakan agenda itu bagi menyatukan sokongan rakyat. (Tetapi ketika ini) yang ditonjolkan kepada rakyat hanya ingin berkuasa sahaja (dan) menjadikan rakyat muak,” katanya.

Nakhaie berkata, jika dua parti besar bersaing untuk menubuhkan kerajaan dan untuk itu perlu kepada sokongan kumpulan manoriti maka kelompok minoriti di Parlimen mempunyai kuasa tawar menawar yang tinggi.

“Tetapi ia terpinggir dengan sendirinya jika kedua-dua  parti besar itu berpakat menubuh kerajaan perpaduan. Sebab itu, parti minoriti harus mengenakan syarat munasabah dan tidak melampau sehingga tidak boleh diterima. Peluang untuk minoriti tubuh kerajaan bersama majoriti jangan ditolak tanpa alasan kukuh.

“Kena gunakan prinsip ‘yang tak boleh dapat semua, jangan ditolak semua’. Yang penting apabila menjadi sebahagian kerajaan mesti bersiap dengan agenda,” katanya.

Beliau memberi contoh, India pernah diperintah oleh Islam pada hal masyarakat beragama Hindu merupakan golongan majoriti. Bangsa Inggeris pula, menjajah banyak bahagian dunia sedangkan pegawai Inggeris yang memerintah hanya beberapa orang sahaja.

“Golongan majoriti boleh diperintah oleh minoriti apabila ia berjaya menanamkan perasaan defeated mind di kalangan majoriti,” katanya.

Nakhaie berkata, dalam konteks demokrasi berparlimen, sebuah parti minoriti hanya boleh memerintah dengan sokongan parti lain yang berpakat menubuhkan kerajaan seperti di Malaysia sekarang tetapi sukar mewujudkan keadaan yang stabil.

“Ini, terutamanya apabila parti penyokong mempunyai jumlah kerusi yang besar. Parti itu tidak merasai dirinya kalah dan ingin terus ke depan walaupun tak mampu membentuk sendiri sebuah kerajaan. Inilah psikologi UMNO sekarang,” katanya.

Beliau menyarankan, BERSATU juga boleh menggunakan psikologi untuk memenangi hati rakyat iaitu bersatu dengan PAS dan menggunakan akar umbi PAS  yang kuat untuk mendapat sokongan akar umbi parti itu.

“Melaluinya, BERSATU boleh mendapat pengaruh akar umbi. Tetapi senario ini senario politik tidak stabil yang meruntuhkan. Melainkan jika dalam pilihan raya umum akan datang, sesebuah parti mendapat majoriti yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan dan menarik parti lain (untuk menyertainya) untuk mendapat majoriti dua pertiga.

“Pun begitu, ia tidak memberi manfaat besar kepada negara melanikan jika parti yang menang dan sekutunya mempunyai agenda yang diyakini berkesan bukan sekadar janji pilihan raya,” katanya.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  70  =  76