Melabur bagaikan bertani, kesilapan undang kecundang

 Melabur bagaikan bertani, kesilapan undang kecundang
Oleh Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

BERCAKAP mengenai isu berkaitan pelaburan, ramai yang mungkin akan terbayangkan simbol Ringgit Malaysia (RM) dan bilakah seseorang itu bakal meraih laba atau keuntungan daripada satu-satu pelaburan tersebut. Soalan-soalan yang biasa kita dengar ‘Boleh untung ke?’, ‘Ok ke invest sekarang?’ dan ‘Rasa-rasa bila harga dia akan naik?’. Ini mungkin antara persoalan yang sering diajukan kepada seseorang yang dianggap berpengetahuan dalam bidang ekonomi dan kewangan. Tiada salahnya berkenaan dengan soalan-soalan ini kerana ia adalah suatu refleks bagi mereka yang ingin melabur.

Hakikatnya, melabur ini adalah suatu perkara yang kompleks dan ia memerlukan masa untuk kita memahami sesuatu pelaburan itu. Mana tidaknya, wang hasil daripada titik peluh dan keringat serta usaha tulang empat kerat ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita dapat dan simpan. Membelanjakannya memang mudah namun untuk mendapatkan wang tersebut, pelbagai usaha dan prosedur operasi standard yang perlu dipenuhi. Begitu juga dengan melabur kerana kita sedang berhadapan dengan kemungkinan untuk hilang wang yang telah lama kita simpan.

Selain itu, setiap daripada kita ini akan sentiasa terdedah dengan risiko inflasi yang merupakan fenomena kenaikan harga. Perkara ini akan berlaku di mana-mana sahaja. Sekiranya ia tidak ditangani dengan baik, maka pendapatan yang disimpan akan kurang nilainya. Kalau dahulu, sekitar 1990-an, wang RM1 boleh membeli 5 kuih karipap. Kini, kuih karipap yang boleh dibeli dengan jumlah wang sama mungkin dua butir sahaja. Ini bermakna, satu unit harga karipap yang bernilai RM0.20 telah melonjak ke paras RM0.50 seunit, kenaikan sebanyak 150 peratus. Dengan kata lain, kuasa beli kita telah berkurangan akibat daripada kenaikan harga barang. Berdasarkan data yang ada, Indeks Harga Pengguna (IHP) telah meningkat secara purata 2.4 peratus setahun sejak dari 1985. Ini bererti kita kehilangan kuasa beli 2.4 peratus pada saban tahun.

Usaha untuk mengatasi masalah inflasi ini bukan sesuatu yang mudah. Kebiasaannya, kerajaan adalah suatu entiti yang sering dikaitkan sebagai agen penyelesai masalah. Pernyataan ini benar dan kita semua boleh bersetuju dengannya. Namun, kita sebagai individu juga mempunyai keupayaan untuk berikhtiar bagi mengatasi masalah inflasi di peringkat individu.

“Wang yang disimpan perlu ‘dibiakkan’ melalui pelaburan kerana pulangan pelaburan dilihat sebagai alat yang boleh meneutralkan kesan inflasi.”

Dalam hal ini, amalan menyimpan perlu diterapkan supaya kita mempunyai simpanan bagi pelbagai tujuan seperti kecemasan dan mudah tunai yang tinggi. Selain itu, wang yang disimpan perlu ‘dibiakkan’ melalui pelaburan kerana pulangan pelaburan dilihat sebagai alat yang boleh meneutralkan kesan inflasi. Sebagai contoh, kadar pulangan pelaburan 4 peratus dilihat telah pun mengatasi kadar inflasi 2.4 peratus. Maka pulangan pulangan pelaburan benar adalah hasil tolak kadar pulangan pelaburan 4 peratus dengan kadar inflasi 2.4 peratus iaitu bersamaan 1.6 peratus. Justeru, amat penting untuk kita melabur bagi mengatasi masalah inflasi. Namun ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan ilmu dan juga tahap kesabaran yang tinggi.

Di sini terdapat suatu persamaan antara pelabur dan petani. Petani sebelum mereka mula menanam suatau tanaman tersebut, mereka perlu membersihkan kawasan tapak pertanian. Bagi tujuan pembersihan kawasan, ia juga memerlukan modal yang tinggi disebabkan jentera-jentera yang bakal digunakan serta kondisi tanah yang ingin diusahakan. Sekiranya terlalu semak seperti hutan, maka kos pembersihannya juga adalah tinggi. Untuk melantik kontraktor yang melaksanakan tugas pembersihan tanah tersebut juga penting kerana mahukan tugasan yang diberikan dilengkapkan dengan sebaiknya. Sudah tentu kita tidak mahu ditipu oleh kontraktor yang tidak bertanggungjawab akibat kurang arifnya kita dalam soal tugasan pembersihan tanah.

Sesudah itu, memilih apakah tanaman yang sesuai yang boleh ditanam dan mampu menjana pendapatan yang baik juga perlu difirkan semasak-masaknya supaya kita tidak melakukan perniagaan yang merugikan. Ini juga memerlukan kita untuk menuntut ilmu dengan guru-guru yang berpengalaman. Dengan adanya media sosial, sudah kelihatan ramai guru-guru berkaitan sektor pertanian terutamanya teknik penanaman fertigasi yang adalah dua perkataan bahasa Inggeris yang digabungkan iaitu “Fertilization and Irrigation”. Ia adalah teknik penanaman yang menggabungkan pembajaan dan pengairan secara sistemik melalui penetapan masa yang berkala secara konsisten. Teknik ini dilihat menjanjikan hasil yang tinggi seperti tanaman cili, rock melon dan terung. Sekali lagi, risiko untuk ditipu oleh guru pertanian juga sememangnya ada terutama bagi kita yang tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pertanian.

“Risiko untuk ditipu oleh guru pertanian juga sememangnya ada terutama bagi kita yang tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pertanian.”

Sebaiknya, tanaman yang dipilihan adalah tanaman yang mempunyai permintaan yang tinggi. Selain itu, kaedah penanaman, baja yang sesuai digunakan untuk menggalakkan hasil pertanian serta ancaman makhluk perosak yang boleh menjejaskan tanaman mereka juga perlu diketahui. Penggunaan racun yang sesuai perlu diketahui di samping jadual meracun yang betul serta sukatan yang tepat adalah satu kemestian bagi menghasilkan kejayaan yang didambakan. Kemudian apabila sampai musim menuai, mereka perlu memikirkan cara untuk menuai dengan cekap supaya hasil pertanian dapat dijual dengan harga yang tinggi.

Dengan kata lain, kita sememangnya digalakkan untuk membuat ‘due diligence’ sebelum kita memulakan perniagaan di dalam bidang pertanian. Tidak dinafikan bidang pertanian boleh mendatangkan keuntungan disebabkan permintaan tinggi serta kurang penawaran di pasaran. Bukti yang jelas adalah defisit di dalam imbagangan dagangan di dalam sektor agro makanan adalah RM21.8 billion pada 2020 berbanding RM1.1 billion pada 1990.

Ini bermakna negara kita amat bergantung kepada sumber import bagi sektor agro makanan. Tahap Sara Diri atau Self Sufficiency Level (SSL) juga rendah bagi kebanyakan tanaman seperti Halia, Cili dan Kobis Bulat iaitu 16.2 peratus, 30.8 dan 36.2 peratus pada 2019. Ini bermakna halia, negara hanya boleh menghasilkan 16.2 peratus sahaja manakala selebihnya iaitu 83.8 peratus perlu diimport dari luar. Begitu juga cili, sumber domestik hanya 30.8 peratus dan 69.2 peratus pula akan diimport. Kobis bulat pula, negara perlu mengimport 63.8 peratus berikutan SSL hanya pada paras 36.2 peratus.

Walaupun data-data ini agak kurang senang untuk kita hadam memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai tanah yang luas dan subur serta iklim yang baik, kita masih lagi perlu bergantung kepada sumber luar bagi keperluan makanan kita. Namun, dari sudut pandang yang lain pula, ia merupakan suatu peluang perniagan yang perlu direbut oleh masyarakat Malaysia yang boleh menjanjikan keuntungan yang lumayan.

Oleh itu, petani dan pelabur sememangnya begitu sinonim berikutan ilmu pengatahuan yang perlu dicari serta pengalaman yang bermanfaat untuk memastikan kita berjaya dalam usaha kita. Kesabaran adalah elemen yang penting bagi pelabur dan petani disebabkan hasil atau pulangan pelaburan memerlukan masa untuk ia dituai. Sekiranya kita terburu-buru dan hanya mendengar cakap-cakap orang sahaja, dikhuatiri kita boleh kecundang di tengah jalan.

Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  28  =  37