Mejar (B) Abdullah mahu cipta sejarah tumbangkan Ketua Menteri

 Mejar (B) Abdullah mahu cipta sejarah tumbangkan Ketua Menteri

Mejar (B) Abdullah memperkenalkan diri kepada pelanggan restoran di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah.

Oleh Mohd Haiqal Ramli

Masjid Tanah: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu? Itulah slogan yang dipegang pesara tentera calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Lendu, Mejar (B) Abdullah Mahadi yang ingin mencipta sejarah menumbangkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


Abdullah bertekad mencipta sejarah berkenaan berasaskan sokongan pengundi yang didakwanya memberikan harapan kepadanya untuk berbuat demikian.


“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu? Mungkin kali ini sejarah akan tercipta Ketua Menteri dari Barisan Nasional (BN) tewas kepada PN.


“Di atas kertas memanglah nampak Ketua Menteri sukar digugat tetapi hati pengundi tiada siapa yang dapat membacanya,” katanya ketika makan tengah hari bersama-sama anggota komuniti di Kampung Solok Duku, di sini hari ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Lendu, Mejar (B) Abdullah Mahadi


Bekas anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu adalah Ketua Sukarelawan Masjid Tanah yang membantu menghubungi penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tanah.


Abdullah berkata, setakat ini beliau sudah bertemu pelbagai lapisan masyarakat di kawasan itu dan yakin mereka mahukan perubahan daripada BN kepada PN.


Katanya, meskipun Sulaiman mengetuai pentadbiran kerajaan negeri selama 19 bulan, kebanyakan anggota komuniti mengadu tidak sempat melihat pembangunan yang cuba dibawa oleh pemimpin terbabit.


“Saya yakin, anggota masyarakat mahu PN membawa pembaharuan di negeri ini dari aspek politik, ekonomi dan sosial,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menggunakan baki dua hari sebelum hari mengundi Sabtu ini untuk menjelajah ke setiap pelosok kawasan Lendu bagi meyakinkan pengundi mengenai kewibawaan PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Selain Sulaiman, turut bersaing di kerusi Lendu ialah Asri Ibrahim dari Pakatan Harapan.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Sulaiman menang hanya dengan undi majoriti 627 selepas menewaskan Ridhuan Dion Bakar dari PKR.

Azlan Abdollah

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  5  =