MCMC umum pakej tambah nilai sempena Hari Kebangsaan

 MCMC umum pakej tambah nilai sempena Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengumumkan beberapa tambah nilai pakej untuk kemudahan rakyat oleh beberapa syarikat telekomunikasi dan penyiaran sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Tawaran itu meliputi Pakej Peranti RM1 Malaysia Prihatin yang membolehkan rakyat Malaysia memiliki atau menaik taraf pelbagai peranti mudah alih yang menyokong 4G dan VoLTE bermula dari harga RM1 yang disokong oleh Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile and YTL.

Selain itu, pemberian data harian percuma sebanyak 1GB oleh Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan Telekom Malaysia kepada semua pengguna turut akan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini.

“Inisiatif Learn From Home (LFH) oleh pihak YTL dalam menyokong sistem pendidikan juga akan dilanjutkan sehingga 31 Dis 2021,” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

MCMC turut berkata pakej Jaringan Prihatin untuk golongan B40 juga akan dilanjutkan sehingga 30 Sept ini.

Suruhanjaya itu berkata tawaran tersebut turut meliputi akses tontonan percuma beberapa saluran premium terpilih oleh syarikat penyiar swasta seperti Astro dan Unifi kepada pelanggan mereka.

Menurutnya, Astro menyediakan saluran percuma iaitu Astro 25 di saluran 100 yang akan menyajikan kandungan tempatan berkisar kepada pengorbanan, semangat patriotik serta kejayaan yang telah Malaysia kecapi.

“Pakej yang ditawarkan ini dijangka memberi kemudahan dan manfaat kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, dan pekerjaan di samping meringankan beban perbelanjaan para pengguna,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

30  +    =  33