• Sunday, 20 June 2021, 9:24 am

MCMC nafi keluar arahan untuk PDRM rampas telefon Syed Saddiq

 MCMC nafi keluar arahan untuk PDRM rampas telefon Syed Saddiq

KUALA LUMPUR, 23 Mei — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya merampas telefon mudah alih milik Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan suruhanjaya itu selaku agensi teknikal dalam membantu siasatan PDRM tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk merampas bahan bukti yang diperlukan pihak berkuasa bagi melengkapkan siasatan mereka.

“Sebaliknya, MCMC akan terus mengemukakan bantuan dan syor teknikal, sesuai dengan keperluan siasatan, secara telus tanpa sebarang agenda terlindung termasuk agenda politik,” demikian menurut kenyataan suruhanjaya itu hari ini.

Semalam, Syed Saddiq mempersoal tindakan polis yang merampas telefon bimbitnya ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Selain itu, MCMC juga menafikan wujudnya unit khas dalam suruhanjaya itu untuk tujuan politik, gangguan politik, kempen sabotaj dan lain-lain sepertimana yang didakwa oleh Syed Saddiq.

MCMC menegaskan ia berperanan untuk mengawal selia peraturan industri berdasarkan kuasa dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain organisasi MCMC dibentuk dan disusun sesuai dengan peranan kawal selia yang dilaksanakannya.

“Dalam hal ini, MCMC menjemput Syed Saddiq untuk hadir ke suruhanjaya dan kami bersedia memberikan penerangan penuh mengenai peranan dan carta organisasi yang juga boleh didapati dalam laman sesawang rasmi MCMC,” tambah kenyataan tersebut.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *