MCA lapor polis ejen jual slot suntik vaksin kepada warga asing di Bentong

 MCA lapor polis ejen jual slot suntik vaksin kepada warga asing di Bentong

Timbalan Ketua Penerangan MCA Pusat, Wong Siew Mun (dua kanan) membuat laporan di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong.

BENTONG, 29 Ogos — Aktiviti penjualan slot suntikan vaksin dengan bayaran antara RM100 hingga RM380 seorang bagi warga asing dikesan berlaku di daerah ini.

Ini didedahkan Timbalan Ketua Penerangan MCA Pusat, Wong Siew Mun yang mendakwa menerima laporan daripada penduduk setempat mengenai aktiviti ejen yang menjual slot suntikan vaksin membabitkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini.

Katanya, susulan itu beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong hari ini.

“Pihak kami menerima banyak aduan dan rungutan daripada penduduk Bentong bahawa ada ejen menghubungi mereka dan menawarkan slot vaksin kepada pekerja asing yang bekerja dengan mereka dengan bayaran RM100 hingga RM380.

“Tindakan ini sama sekali menidakkan hak rakyat Malaysia yang masih menunggu giliran MySejahtera apatah lagi ramai rakyat kita telah meninggal dunia akibat COVID-19 sebelum mendapat giliran suntikan vaksin,” katanya di sini, hari ini.

Siew Mun berkata, berdasarkan laporan daripada pengadu, warga asing didakwa mendapat slot suntikan yang dipaparkan dalam MySejahtera yang diuruskan ejen terbabit.

Justeru beliau berkata, siasatan perlu dilakukan dengan segera bagi memastikan tiada lagi aktiviti seperti ini termasuk dalam program vaksinasi terbaharu yang akan dilaksanakan di Mempaga di sini esok.

“Kami berharap pihak polis bertindak pantas dan membuat siasatan demi keadilan kepada seluruh komuniti Bentong.

“Pada masa sama kami menyeru kepada warga Bentong agar membuat laporan polis sekiranya menghadapi situasi yang sama,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

61  −  58  =