MBJB tempatkan gelandangan di 2 pusat sementara

 MBJB tempatkan gelandangan di 2 pusat sementara

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menempatkan 158 golongan gelandangan di bandar raya ini di dua penempatan sementara bagi memastikan mereka tidak terbiar, sekali gus mengelak daripada dijangkiti COVID-19.

Datuk Adib Azhari Daud

Datuk Bandar Johor Bahru, berkata, 38 orang dicadangkan ditempatkan di Anjung Singgah, Taman Nong Chik dan 120 lagi di Pusat Perlindungan Wanita, Taman Perling, di sini.

“MBJB memberi tumpuan untuk melindungi golongan gelandangan ini yang berisiko tinggi dan terdedah dengan jangkitan wabak COVID-19.

“MBJB akan mengeluarkan perbelanjaan RM103,600 secara bulanan dan RM35,000 secara ‘one-off’ bagi membantu golongan gelandangan yang akan ditempatkan di Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling,” katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Penuh Bulanan MBJB di Bangunan MBJB, di sini semalam.

Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Datuk Mohd. Rashidi Mohd. Noor semasa meninjau pusat gelandangan di Dataran Tun Sri Lanang di bandar raya ini meminta supaya gelandangan diberi suntikan vaksin.

Menurut Mohd. Rashidi, ini bagi mengelak penularan wabak COVID-19 selain berharap perancangan MBJB untuk membina sebuah pusat transit bagi gelandangan di Larkin dapat disiapkan pada akhir tahun ini seperti yang dijadualkan.

Adib berkata, kos itu antaranya penyediaan keperluan makan dan minum tiga kali sehari, peralatan pembersihan diri, keperluan cadar, sarung bantal dan tuala dan elaun harian petugas.

Beliau memberitahu, statistik terkini gelandangan dalam kawasan MBJB yang telah berdaftar dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) adalah seramai 229 orang.

Mengenai Pusat Transit Gelandangan Bangsa Johor di kawasan tanah lapang di Taman Larkin Perdana, beliau berkata, bangunan transit dua tingkat itu akan dilengkapi, antaranya ruang pejabat, bilik rawatan, bilik penginapan, dewan makan, surau, bilik sakit dan isolasi,

Bangunan transit tersebut direka bentuk untuk menampung sejumlah 200 gelandangan dalam satu-satu masa selain dilengkapi dengan pondok pengawal dan hiasan landskap.

“Memandangkan kita masih dalam tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, projek pembinaan pusat transit gelandangan ini dijangka akan bermula pada Ogos 2021 dan dijangka siap pada Julai 2022,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

39  −  37  =