MBJB kurangkan 5.3 peratus kutip hasil

 MBJB kurangkan 5.3 peratus kutip hasil

Datuk Noorazam Osman

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM471.76 juta pada tahun ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, jumlah itu dijangka berkurang 5.3 peratus berbanding anggaran hasil yang diperoleh pada 2021.

Menurutnya, anggaran hasil pada tahun ini terdiri daripada kutipan cukai sebanyak RM328.23 juta, hasil bukan cukai RM109.66 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM33.9 juta.

“Bagi perbelanjaan pula, MBJB menganggarkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM266.38 juta, iaitu 0.39 peratus peningkatan daripada anggaran belanja mengurus bagi 2021.

“MBJB juga menganggarkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM228.94 juta, iaitu 5.13 peratus penurunan daripada anggaran perbelanjaan pembangunan bagi 2021.

“Ini menjadikan anggaran perbelanjaan keseluruhan MBJB pada tahun 2022 adalah sebanyak RM495.32 juta serta menjadikan belanjawan MBJB pada 2022 sebagai belanjawan defisit dengan jumlah sebanyak RM23.56 juta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mengenai soal hala tuju MBJB pada tahun 2022, Noorazam berkata, tumpuan akan diberikan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf fasiliti serta kemudahan sedia ada.

Memandangkan keadaan ekonomi masih tidak menentu dan memberi impak terhadap hasil MBJB, beliau memberi bayangan tidak ada projek pembangunan baharu akan dilaksanakan.

“Projek pembangunan baharu akan dilaksanakan sekiranya ada keperluan yang mendesak dan difikirkan perlu.

“Selain itu, MBJB juga akan menambah baik pengurusan aduan awam bagi memastikan aduan yang diterima dapat diselesaikan dalam jangka masa yang sewajarnya,” katanya.

MBJB juga akan meneroka peluang untuk mewujudkan nilai tambah dalam perkhidmatan menerusi kaedah ‘Public Private Partnership’ (PPP) yang secara tidak langsung akan mewujudkan suasana yang inklusif antara MBJB, pihak swasta serta warga bandar raya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *