MB Terengganu tunai janji suntikan vaksin

 MB Terengganu tunai janji suntikan vaksin

Oleh Mohammad Ishak

KUALA TERENGGANU, 27 Feb: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menunaikan janji untuk menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 di negeri itu.

Beliau menjalani suntikan itu sempena majlis pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Dr Alias Razak; dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Menteri Besar berkata, beliau tidak mengalami sebarang masalah ketika mendapat suntikan dan bersyukur kerana sudah menunaikan tanggungjawab menjalani proses berkenaan.

“Oleh itu semua rakyat negeri ini diminta tampil menyertai program itu kerana ia satu kebaikan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, kira-kira 15,000 individu petugas barisan depan di seluruh negeri sedang menunggu giliran untuk menyertai program itu.

Proses vaksinasi fasa satu di Terengganu melibatkan seluruh petugas barisan hadapan bermula 2 Mac dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada Mei.

Ini melibatkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia selain anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain.

Katanya, JKN Terengganu menerima 16,380 dos vaksin yang disimpan di tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) sejurus sampai di sini sebelum diagihkan kepada kira-kira 20 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh daerah.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  57  =  66