• Thursday, 17 June 2021, 2:00 pm

MB, Exco Johor sumbang 3 bulan gaji

 MB, Exco Johor sumbang 3 bulan gaji

Hasni Mohammad (depan – tengah) dan barisan Exco Johor bersetuju menyumbangkan tiga bulan gaji ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor bagi meningkatkan kapasiti kesihatan awam negeri dalam memerangi pandemik COVID-19

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 3 Jun – Menteri Besar, Dato’ Hasni Mohammad dan semua barisan Exco Kerajaan Johor akan menyumbangkan tiga bulan gaji ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor.

Keputusan itu dibuat mereka dalam mesyuarat mingguan Exco semalam.

“Sumbangan bagi gaji bulan Jun hingga Ogos 2021 ini akan digunakan untuk mempertingkatkan keupayaan tahap kesihatan awam negeri ini dalam mendepani dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau turut mengajak semua wakil rakyat di negeri ini untuk Bersama-sama menyumbang sebahagian daripada elaun yang diterima masing-masing ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor untuk menambah dana dan meningkatkan kapasiti kesihatan awam di negeri ini.

Menteri Besar turut menyeru pihak swasta, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu yang prihatin untuk menyumbang ke dalam tabung berkenaan bagi membantu dan memberi manfaat kepada lebih ramai pihak yang memerlukan.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada tahun lalu ekoran penularan COVID19, Tabung Bencana Negeri Johor sudah menerima sebanyak RM44.83 juta sumbangan dalam bentuk wang tunai dan peralatan daripada pelbagai pihak.

“Hingga kini, sebanyak RM41.65 juta sumbangan sudah digunakan untuk manfaat rakyat,” katanya.

Beliau juga menasihati rakyat Johor supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk melindungi sesama kita dan kita mesti menang dalam perperangan melawan COVID-19 ini,” tegasnya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *