Mazlan didakwa tolak cadangan jadi calon Parlimen Tebrau, DUN Tiram

 Mazlan didakwa tolak cadangan jadi calon Parlimen Tebrau, DUN Tiram

JOHOR BAHRU 30 Januari – Pemangku Ketua BERSATU Bahagian Tebrau, Kamaruzzaman Abu mendedahkan, Mazlan Bujang beberapa kali menolak apabila dicadangkan untuk menjadi calon kerusi Parlimen Tebrau dan DUN Tiram.

Menurutnya, cadangan kepada bekas Ketua BERSATU Bahagian Tebrau itu dibuat parti sejak 1 Januari lalu.

“Cadangan ini juga untuk persediaan bahagian ini menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebelum pengumuman PRN,” katanya dalam sidang media, malam tadi.

Justeru, beliau percaya bahawa tindakan penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkenaan meletakkan jawatan dan keluar daripada BERSATU adalah satu langkah politik.

Menurutnya, Mazlan seharusnya mengambil tindakan itu lebih awal sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Januari lalu.

“Kalau kata tidak ada kepercayaan (terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin) kenapa tidak bertindak keluar lebih awal daripada yang berlaku sekarang.

“Apabila berlaku PRU atau PRN, maka berlaku perkara seperti ini (keluar parti),” katanya.

Kamaruzzaman turut mempersoalkan mengenai kenyataan Mazlan bahawa seramai 23 Ahli Jawatankuasa BERSATU Bahagian Tebrau turut mengikut jejak langkahnya keluar parti serta meletakkan jawatan.
Menurutnya, hanya enam ahli jawatankuasa yang berbuat demikian dan setakat ini BERSATU Bahagian Tebrau mempunyai seramai 3,425 ahli di 17 cawangan.

Meskipun kecewa dan kesal atas tindakan bekas ketuanya itu, namun BERSATU Bahagian Tebrau tetap teguh dan setia bersama-sama parti di bawah pimpinan Muhyiddin.

Khamis lalu, Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua BERSATU Bahagian Tebrau dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

67  −    =  63