Mayat tentera lemas di Sungai Pahang ditemui

 Mayat tentera lemas di Sungai Pahang ditemui

Mayat anggota tentera yang hilang di Sungai Pahang di Bera Ahad lepas, ditemukan di Kampung Serengkam, Maran hari ini – Tentera Darat/Foto Twitter BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Sept — Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini mengesahkan penemuan jenazah seorang anggotanya yang hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang, di Bera Ahad lepas.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan jenazah Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa oleh penduduk kampung di kawasan Kampung Serengkam, Maran, kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian.

“TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri mangsa, Nor Aqila Syafiqa Safuan serta seluruh ahli keluarganya dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga itu.

“Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham,” menurut kenyataan itu.

Mohamad Azrin yang merupakan anggota tinjau daripada pasukan Kompeni PANDURA (Para) dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan Eksesais PARA Predator Siri 1/2021 pada 4.40 petang.

Semasa kejadian, Mohamad Azrin sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyberangi Sungai di kawasan Kampung Batu Bor.

TDM merakamkan penghargaan terima kasih lepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 2 Pahang, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, para penduduk dan mana-mana agensi yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat bermula Ahad Lepas.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1