Mayat pengendali jet ski ditemukan

 Mayat pengendali jet ski ditemukan

GEORGE TOWN, 19 Mac — Mayat pengendali jet ski yang terjatuh ke dalam laut di perairan Monkey Beach, Taman Negara Teluk Bahang dekat sini semalam ditemukan terapung kira-kira 150 meter daripada pesisir pantai itu hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mass Rafiuddin Mass Ariffin berkata mayat Mohammad Asrul Aswad Hussain, 23, ditemukan pada 10.26 pagi iaitu pada kedudukan kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa terjatuh, semalam.

“Mangsa dipercayai terjatuh pada pukul 4 petang semalam dan pihak bomba bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menjalankan operasi mencari serta menyelamat (SAR) petang semalam sebelum dihentikan malam tadi berikutan gelap.

“SAR diteruskan pagi ini membabitkan lima bot bomba dan APMM Pulau Pinang dengan pencarian dibahagikan kepada beberapa kawasan terutama lokasi mangsa dilaporkan terjatuh sebelum mayat mangsa ditemukan terapung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya mayat diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Semalam, Mohammad Ashrul dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada jet ski di kawasan perairan Monkey Beach ketika cuba jentera untuk menyelamatkan dua pelancong yang turut menaiki jet ski yang terbalik di perairan berkenaan.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

36  −  35  =