Mayat mangsa lemas kedua ditemukan di Batu Layar

 Mayat mangsa lemas kedua ditemukan di Batu Layar

Oleh Nurman Nasyriq

KOTA TINGGI, 25 Mac – Selepas sehari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, mayat Muhammad Hibatullah Hakim Razak, 23, yang ditarik arus ketika mandi di pantai Batu Layar, di sini ditemukan semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mayat mangsa ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi kejadian pada jam 3.27 petang.

“Mayat mangsa dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Sepang dan kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi kelmarin, tiga sahabat mandi di pantai tersebut sebelum Muhamad Hariz Farhat Omar, 23, dan Muhammad Hibatullah dilihat terkapai-kapai meminta tolong kemudian ditarik arus dan tenggelam ditelan ombak.

Mayat Muhamad Hariz dijumpai orang awam di celah batu kira-kira 30 meter dari pantai pada hari kejadian.

Anggota bomba mengusung mayat Muhammad Hibatullah selepas ditemukan terapung pada jarak lebih kurang 200 meter dari lokasi kejadian di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi semalam.

Nurul Hizam berkata, operasi SAR itu melibatkan bomba, polis, Pasukan Polis Marin (PPM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Pengerang dan orang awam.

Sementara itu, Komander Operasi SAR, Penolong Penguasa Bomba Khairul Sufian Dahari memberitahu, mayat mangsa yang terapung ditemukan dengan menggunakan dron pada jarak lebih kurang 200 meter dari lokasi kejadian.

Mayat diambil menggunakan bot Maritim Malaysia kerana ombak besar dan operasi tamat jam 5.15 petang.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

66  +    =  71