Mayat lelaki dalam keadaan berulat dijumpai di Jalan Serting Hilir

 Mayat lelaki dalam keadaan berulat dijumpai di Jalan Serting Hilir

Mayat mangsa bersama motosikal yang ditemukan di tebing sedalam 7.4 meter dari bahu jalan di Jalan Serting Hilir

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dengan keadaan mayatnya kembung dan berulat dalam tebing sedalam 7.4 meter dari bahu jalan di Jalan Serting Hilir, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mayat lelaki berusia 26 tahun itu dijumpai bersama motosikal jenis Yamaha Lagenda oleh seorang wanita pada 2.30 petang Selasa dan memaklumkan kepada polis.

“Lelaki itu dipercayai meninggal dunia sejak seminggu lepas berdasarkan keadaan mayatnya itu. Siasatan awal mempercayai lelaki itu terbabit kemalangan ketika hendak pulang ke rumahnya di Serting Hilir.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikalnya dipercayai terbabas ke kiri jalan lalu jatuh ke tebing itu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hoo berkata tarikh dan masa sebenar kemalangan tidak dapat dipastikan namun kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira seminggu lepas.

Beliau berkata tiada unsur jenayah ditemukan setakat ini dan mayat lelaki itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Dalam kejadian lain, Hoo berkata seorang penghantar makanan Foodpanda maut selepas motosikal jenis Yamaha ditungganginya dilanggar sebuah kereta jenis Toyota dalam nahas di Bahau, di sini kira-kira 6 petang Selasa.

“Siasatan awal mendapati apabila mangsa tiba di tempat kejadian, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah bertentangan membelok masuk ke simpang sebelah kiri motosikal itu,” katanya.

Hoo berkata kemalangan menyebabkan penghantar makanan terbabit cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa yang berusia 19 tahun itu turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut, katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *