Mayat dua kanak-kanak lemas ditemukan

 Mayat dua kanak-kanak lemas ditemukan

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 28 Feb: Mayat dua kanak-kanak yang lemas ketika mandi petang semalam di Sungai Skudai dekat Kampung Batu 8, Skudai, di sini ditemukan pada tengah malam tadi.

Mayat pertama dijumpai pada jam 8.58 malam, manakala mayat kedua pada 12.10 tengah malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Suhaimi Abdul Jamal berkata, anggota bomba menjumpai mayat mangsa pertama, Ahmad Daniel Abdullah, 9, dari Kampung Baru Skudai pada jarak 14 meter dari lokasi kejadian.

Mayat dua kanak-kanak yang lemas ketika bermandi di Sungai Skudai ditemukan anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat malam tadi

“Usaha mencari  mangsa dipergiatkan pada jam 10.25 malam. Hasilnya, mayat mangsa kedua, budak lelaki keturunan Cina berusia tujuh ditemukan pada jam 12.10 tengah malam kira-kira tujuh meter dari tempat kejadian.,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian jam 6.17 petang, kedua-dua kanak-kanak tersebut mandi di Sungai Skudai sebelum dilaporkan lemas.

Kejadian tersebut disedari seorang lelaki yang sedang menjala ikan di bawah jambatan berdekatan apabila dia ternampak tangan kedua-dua kanak-kanak berkenaan terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong.

Saksi kejadian, Nalsen Manggatang, 35, cuba menyelamatkan mangsa tetapi tidak berjaya.

Nalsen kemudian turut meminta pertolongan daripada orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut sebelum menghubungi talian kecemasan.

Suhaimi memberitahu, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bomba Johor dibantu tiga jentera dan empat kenderaan utiliti.

Pihaknya turut dibantu 15 anggota polis dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM). Operasi tamat pada  jam 12.43 tengah malam.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  63  =  65