Maulidur Rasul: Apakah yang diperingati?

 Maulidur Rasul: Apakah yang diperingati?

MUNGKIN dalam memperingati hari keputeraan Rasulullah SAW pada tahun ini kita boleh bertanya diri kita apakah yang seharusnya kita peringati ketika menyambut peristiwa besar ini?

Apakah kita hanya menyambutnya sebagai rutin biasa, iaitu kerana ia disambut setiap tahun maka kita juga haruslah menyambutnya pada tahun ini dengan istiadat tertentu, pembacaan berzanji, ceramah dan sebagainya.

Atau lebih daripada itu, apakah pada tahun ini kita akan menyambutnya dengan penuh keinsafan dan kesedaran terhadap dugaan dan ujian Allah yang amat getir terhadap kita akibat dari pandemik COVID-19 yang masih melanda masyarakat kita manusia di seluruh dunia ini?

Bagi saya bentuk sambutan adalah merupakan sesuatu yang terserah kepada kebijaksanaan berbagai pihak yang mengaturnya asalkan ia tidak bertentangan dengan prinsip dan ajaran agama. Yang amat penting dalam sambutan ini ialah mendapatkan sesuatu yang akan menjadi bekalan yang baik bagi kehidupan kita sebagai individu dan satu umat yang besar dalam meneruskan aktiviti dan perjuangan hidup yang lebih bermakna pada masa hadapan.

Saya merasakan bahawa dalam keadaan kekacauan pemikiran yang kita hadapi pada masa ini akibat daripada beberapa kegawatan yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita, iaitu yang disebabkan oleh gangguan dari luar atau akibat daripada keruncingan yang kita ciptakan sendiri, maka terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian serius terhadap perjuangan Baginda Rasulullah SAW dan kejayaannya.

Mungkin kita perlu bertanya, apakah rahsia dan kunci kejayaan Baginda di dalam menyampaikan agama dan risalah yang diamanahkan Allah SWT kepada Baginda untuk disampaikan kepada umat manusia keseluruhannya? Terlalu banyak fakta sejarah dan catatan hidup Baginda yang menjelaskan kepada kita tentang kejayaan Baginda di dalam perjuangannya yang amat sukar itu.

Kunci kejayaan Baginda adalah merupakan kunci kejayaan bagi perjuangan setiap individu di mana saja mereka berada dan pada zaman mana sekalipun.

Kejayaan Baginda adalah kunci kejayaan yang bersifat sejagat, universal dan menjadi panduan bagi masyarakat Islam dan bukan Islam buat selama-lamanya.

Rahsia dan kunci kejayaan Baginda dapatlah dirumuskan sebagai berikut:

  • Keperibadian dan perwatakan Baginda yang sempurna
  • Akhlak dan tingkah laku Baginda yang amat terpuji
  • Pembicaraan dan perkataan Baginda yang selari dengan perbuatannya
  • Mempunyai sifat bijaksana atau berhikmah dalam tindakannya.

Kesempurnaan peribadi, akhlak dan tingkah laku serta sifat hikmah Baginda merupakan idealisme keunggulan seorang insan yang tentunya amat jauh bagi manusia biasa seperti kita pada hari ini untuk memilikinya. Bagaimana matlamat idealisme ini seharusnyalah menjadi cita-cita bagi setiap orang manusia, khususnya orang Islam, bagi memilikinya sempena menyambut keputeraan Baginda pada tahun ini.

Untuk lebih menjelaskan kedudukan ini, cubalah renungkan ayat al-Quran yang menjelaskan begini: ”Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu”. (Suruh al-Ahzab, ayat 21).

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat yang tersebut menjelaskan bahawa Baginda Rasulullah SAW dapat diteladani di dalam aspek-aspek berikut:

* Dalam perkataannya Baginda menjadi ikutan sebagai insan yang berbicara sesuatu dari hati nuraninya yang ikhlas. Baginda tidak berbicara dan berkata sesuatu yang tidak diperlukan, apa lagi yang sia-sia.

Baginda berbicara sesuatu yang mempunyai hubungan dengan kepentingan umat, dengan bahasa komunikatif yang mudah difahami. Baginda sentiasa jujur dan benar, sehingga Baginda memesan bahawa sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah ia bercakap yang baik, atau ia diam sahaja.

* Dalam tindakan dan perbuatannya, Baginda sentiasa menyesuaikan perbuatannya dengan pengucapannya. Ketika Baginda meminta orang lain berbuat baik, maka Bagindalah yang terlebih dahulu melakukannya. Dalam banyak hal Baginda melakukan sesuatu sebelum meminta orang lain melakukannya seperti perbuatan sembahyang iaitu ketika Baginda bersabda: ”Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang.”

Pada akhlak dan tingkah lakunya, Baginda adalah seunggul-unggul manusia yang mendapat pengiktirafan dari Allah SWT seperti firman-Nya di dalam surah al-Qalam, ayat 4: ”Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memiliki akhlak yang agung.”

Hikmah Baginda dalam berkomunikasi dan berurusan dengan kawan dan lawan diterangkan oleh Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 159: ”Maka disebabkan rahmat daripada Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu”.

Demikianlah penjelasan tentang keperibadian Baginda Nabi kita Muhammad SAW yang kelihatan amat mudah tetapi amat sukar dipraktikkan. Namun pokok perbicaraan ialah yang sering kita ulang-ulangkan saban tahun di merata-rata tempat, terutamanya pada bulan ini dan perbicaraan itu juga nampaknya menjadi hidangan biasa di majlis-majlis keramaian yang tidak memberi kesan sewajarnya.

Namun yang menyedihkan, semakin banyak peringatan diberi dan semakin kerap kita melaung-laungkan ajaran baik dari Baginda, semakin menjadi-jadi kegawatan pada percakapan, perbuatan, tingkah laku dan akhlak umat kita, termasuk orang-orang yang melaung-laungkan slogan itu sendiri. Pembicaraan kita menjadi semakin kasar dan kesat, perbuatan kita menjadi terlalu ganas dan tidak beradab, malah akhlak dan moral kita mencerminkan sifat angkuh dan tidak berperadaban.

Apakah dengan melupa dan melalaikan ajaran terbaik dari Baginda yang sering diulang-ulangkan setiap kali mengingati hari keputeraan Baginda, maka semakin serius lagi tercemarnya adab sopan dan etika berharga serta sifat integriti kita umatnya ini dari tahun ke tahun?

Sama senada dengan doa restu kita kepada Allah SWT untuk kita menjadi aman dari pandemik penyakit yang sedang kita alami sekarang, maka diharapkan demikian jugalah segala perilaku yang kasar dan tidak bermoral, budi bicara dan pengucapan yang tidak jujur dan amanah itu, akan dapat kita hapuskan segera dengan berkat usaha dan perjuangan kita sendiri, dan akhirnya dengan pertolongan Allah SWT.

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *