• Friday, 18 June 2021, 12:27 am

Masyarakat perlu bantu kerajaan capai imuniti kelompok

 Masyarakat perlu bantu kerajaan capai imuniti kelompok

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

SEPANG, 6 Jun — Sasaran kerajaan untuk mencapai 80 peratus rakyat menerima vaksinasi COVID-19 sebelum menjelang akhir tahun ini, sukar dicapai jika masyarakat terpengaruh dengan gerakan antivaksin.

Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata sikap mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang menakut-nakutkan mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin turut menghalang sasaran berkenaan untuk direalisasikan.

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, masih ramai yang tidak mahu mendaftar Program Imunisasi COVID-19.

“Janganlah terpengaruh sama sekali dengan dakwaan, dakyah, pandangan atau maklumat palsu berhubung vaksin COVID-19 yang kononnya merbahaya dan boleh membawa maut.

“Sumber paling sahih mengenai vaksin itu adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pandangan selain daripada pihak berkenaan perlu diabaikan bagi mengelak timbulnya keraguan serta kekeliruan di kalangan masyarakat yang seterusnya skeptikal dan tidak mahu divaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penyebaran maklumat palsu di kalangan masyarakat Malaysia yang membantutkan usaha kerajaan ini.

Baru-baru ini, terdapat beberapa individu yang dihukum denda mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat atas dakwaan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang ramai dengan mengadakan penerbitan mengandungi berita tidak benar.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab sewajarnya memberikan kepercayaan penuh terhadap usaha dijalankan kerajaan.

Beliau berkata, tidak perlu memilih jenis vaksin kerana semuanya sudah dipastikan selamat oleh KKM dan jumlahnya juga akan ditambah seperti diumumkan kerajaan.

Katanya, matlamat utama vaksinasi dijalankan ialah supaya masyarakat kembali pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala sama seperti beberapa negara yang mana tahap vaksinasinya lebih 80 peratus dan sudah tidak perlu memakai pelitup muka.

“Perkembangan terkini menunjukkan negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Korea Selatan, malah China merekodkan penurunan ketara kes COVID-19, selain peningkatan tinggi dalam vaksinasi.

“Jika kita tidak menyokong usaha kerajaan walaupun banyak inisiatif telah dijalankan, maka matlamat memulihkan kembali negara dalam aspek kesihatan, ekonomi, sosial akan menghadapi kesukaran,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *