Masjid dikompuan RM10,000 gagal pamer kod QR

 Masjid dikompuan RM10,000 gagal pamer kod QR

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 21 April – Masjid Sri Maulana Taman Sri Maulana, Pekan dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 semalam kerana didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, masjid berkenaan gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan seperti ditetapkan.

Susulan itu tindakan kompaun dikeluarkan pada jam 11 pagi semalam di atas nama Pengerusi Jawatankuasa Masjid atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan berterusan disemua masjid dan surau negeri ini.

“Kita telah meminta pasukan penguatkuasa JAIP memastikan kod QR dapat dipamerkan dan diguna setiap individu yang datang ke masjid.

“Mungkin ada berlaku kekhilafan oleh ahli jemaah serta pihak pengurusan masjid itu, ia di luar jangkaan kita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, kompaun RM10,000 yang dikenakan ke atas sebuah masjid di Pekan dekat sini semalam, diharap menjadi pengajaran kepada pengurusan masjid lain supaya mematuhi SOP ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Pekan mengeluarkan kompaun itu selepas mendapati pengurusan masjid tidak mendaftarkan nama jemaah seperti disyaratkan.

“Kompaun dikeluarkan agar masjid lain mengambil iktibar. Bayaran telah dibuat oleh pihak masjid dengan 50 peratus diskaun,” katanya ringkas kepada media menerusi pesanan aplikasi WhatsApp hari ini.

Hari ini tular di media sosial Pengerusi Jawatankuasa Masjid Sri Maulana di Pekan dikompaun RM10,000 kerana didakwa tidak menyediakan Kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan semasa pemeriksaan dijalankan 11 pagi semalam, yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

27  +    =  33