Masih ramai terpedaya Macau Scam – Ayob Khan

 Masih ramai terpedaya Macau Scam – Ayob Khan

Ayob Khan menunjukkan 12 suspek yang terlibat dengan sindiket penipuan atas talian pada sidang akhbar di IPK Johor, hari ini

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 4 Mac: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hairan kerana masih ada yang individu yang terpedaya dengan penipuan Macau Scam.

Beliau berkata, orang ramai sudah diberi peringatan dan amaran berkali-kali, namun kes penipuan dalam talian itu masih terus berlaku.

“Kita menerima aduan penipuan berkaitan kes Macau Scam setiap hari di negeri ini.

“Tak larat kita nak bagi nasihat, perkara yang sama berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor menerima 40 laporan polis berkenaan kes Macau Scam dengan jumlah kerugian lebih RM1.48 juta.

Selain itu, bagi kes penipuan pinjaman tidak wujud pula, bagi Januari hingga Februari tahun ini, sebanyak 108 laporan polis diterima dengan jumlah kerugian RM1.364 juta.

Terbaharu katanya, 12 individu termasuk seorang wanita yang terlibat Macau Scam sejak setahun lalu diberkas Ahad lalu.

“Mereka ditangkap di Cheras, Kuala Lumpur susulan satu serbuan di sebuah premis di Kota Tinggi kelmarin,” katanya.

Justeru, polis Johor menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan seperti nombor akaun, nombor kata laluan atau one time password (OTP) kepada pihak ketiga.

Jelasnya, ahli sindiket berkenaan akan menggunakan akaun tersebut sebagai ‘mule account’ bagi menipu mangsa lain.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penipuan Macau Scam atau jenayah komersial lain diminta menghubungi pegawai risikan/operasi JSJK IPK Johor, Asisten Superitendan Timmy Anak Aheng menerusi talian 019-7773728 atau infoline JSJK 013-2111222.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

62  +    =  63