Masa untuk perkasakan kuasa belia

 Masa untuk perkasakan kuasa belia

Senator Jaziri Alkaf A. Suffian

KUALA LUMPUR, 26 Jun –Pandemik COVID-19 yang sudah setahun lebih melanda negara adalah petanda bahawa telah tibanya masa untuk belia menjadi ‘frontliner’ dalam memacu masa depan negara, terutamanya pada peredaran zaman teknologi yang bersesuaian dengan belia zaman kini.

Menurut Pengerusi Yayasan MyProdigy Malaysia, Senator Jaziri Alkaf A. Suffian, lebih 2.9 juta belia Malaysia adalah penentu nasib negara pada masa depan dan kerajaan perlu banyak melabur kepada golongan ini.

“Belia yang berumur 15 hingga 25 tahun ini perlu diberi perhatian kerena mereka adalah golongan yang memimpin negara pada generasi depan.

“Saya sentiasa percaya bahawa golongan belia ini patut diperkasakan. Bagaimanapun, belia negara harus menyahut cabaran ini serta menggalas tanggungjawab sebagai barisan hadapan dalam memastikan Malaysia dan rakyatnya sentiasa selangkah ke depan dan keluar dari pandemik ini,” katanya.

Menurut Jaziri, belia pada abad ke-21 ini perlu fleksibel serta mudah menyesuaikan diri dengan keadaan dunia yang sentiasa berubah, terutamanya pada teknologi yang kian berkembang.

“Disebabkan pandemik COVID-19, proses pembelajaran mereka terpaksa dipercepatkan, namun golongan belia perlu menjadi seorang yang ‘adaptable’ serta fleksibel dalam menghadapi cabaran yang menimpa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Masa Depan Usahawan Melayu (MAFEA), Muhammad Affendi Mohd Dilif berkata golongan belia ini perlu dididik dengan platform yang betul supaya berpotensi menjadi pemimpin pada masa akan datang.

“Anak muda harus bijak mengurus ruang dan masa serta mencari inisiatif, selain menggunakan sepenuhnya inisiatif diberi kerajaan untuk membina kerjaya mereka,” katanya kepada Wacana.my.

Menurut Affendi, pada zaman pandemik ini, sektor keusahawanan perlu diberi perhatian supaya sektor ini mampu menjana peluang pekerjaan kepada generasi akan datang.

“Kementerian Keusahawanan telah banyak menyediakan latihan serta panduan kepada anak muda untuk mula meniaga selain memberikan peluang dan bantuan kepada mereka yang hendak berjinak dalam bidang ini.

“Anak muda kena buat pilihan yang tepat, selain boleh membezakan pemimpin yang bercakap kosong atau yang bercakap melalui gerak kerja,” katanya.

Kita sebagai belia negara, kita harus melangkah ke depan serta mengambil peluang ini untuk membuktikan bahawa kita bukanlah generasi yang lemah, malah sebuah generasi yang akan membentuk Malaysia yang maju.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  2