Maritim tahan kapal tangki, bot nelayan

 Maritim tahan kapal tangki, bot nelayan

Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki asing dan sebuah bot nelayan di perairan Tanjung Sedili Kechil, Kota Tinggi, semalam.

KOTA TINGGI, 2 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan sebuah kapal tangki dan bot nelayan di dua lokasi di Tanjung Sedili, dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-duanya ditahan bot Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan.

“Penahanan pertama melibatkan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Sierra Leone pada posisi 16.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil pada jam 1.40 petang.

“Kapal tangki itu dikendalikan tujuh kru warga Indonesia berusia antara 36 hingga 54 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Penahanan kedua melibatkan bot nelayan tempatan pada kedudukan 22.6 batu nautika timur Tanjung Sedili Besar pada jam 3.45 petang.

Berdasarkan pemeriksaan bot itu dikendalikan empat kru warga Indonesia mempunyai dokumen serta permit yang sah berusia antara 20 hingga 44 tahun.

Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda pukat kurang dari jarak 30 batu nautika.

Kesemua kru dan bot nelayan tempatan tersebut ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili bersama-sama nakhoda kapal tangki yang ditahan bagi siasatan lanjut.

“Kedua-dua penahanan ini dilakukan bot ronda Maritim Malaysia ketika menjalankan operasi penguatkuasaan di sekitar perairan Johor timur,” katanya.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Maritim Negeri Johor 07-2199404 atau talian kecemasan MERS 999.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

98  −    =  97