Maritim tahan dua bot dari Indonesia

 Maritim tahan dua bot dari Indonesia

Maritim Johor menahan dua bot kerana melakukan dua kesalahan di kedudukan 0.7 batu nautika tenggara Tanjung Langsat

KOTA TINGGI – Tindakan dua bot tunda dari Batam, Indonesia yang tidak memaklumkan ketibaan dan tidak mempunyai kebenaran menunda daripada Pengarah Laut Malaysia membawa padah apabila ditahan semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menerusi Zon Maritim Tanjung Sedili menahan dua bot tunda itu yang disyaki melakukan operasi tanpa kebenaran pada jam 6 petang ketika menunda sebuah kapal tangki.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua bot tunda berkenaan melakukan kesalahan tersebut pada kedudukan 0.7 batu nautika tenggara Tanjung Langsat, dekat ini.

“Kedua-dua bot tunda terbabit yang berdaftar di Batam, Indonesia dikendalikan oleh 13 kru warga Indonesia berumur antara 25 hingga 47 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kedua-dua bot tunda terbabit tidak memaklumkan ketibaan dan tidak mempunyai kebenaran menunda daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semua kru dan dua bot tunda terbabit ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  82  =  89