Maritim Malaysia rampas 39kg syabu hampir RM2 juta

 Maritim Malaysia rampas 39kg syabu hampir RM2 juta

Nurul Hizam (tengah) menunjukkan bungkusan dadah dipercayai jenis syabu yang ditemukan dalam dua bagasi dalam sebuah bot ditahan Maritim Malaysia, awal pagi tadi.

BATU PAHAT, 14 Sept — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 39 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.95 juta, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Johor, Laksmana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Muar.

“Ketika berada di 1.6 batu nautika tenggara Sungai Kesang, pihak kami berjaya mengesan kehadiran sebuah bot fibre tanpa nombor pendaftaran.

“Menyedari kehadiran bot ronda kita, bot yang dinaiki dua suspek itu terus memecut laju menuju ke kawasan hutan bakau berhampiran sebelum terjun meninggalkan bot untuk melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemukan dua bagasi mengandungi peket bungkusan teh cina berwarna hijau yang mengandungi dadah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, sebanyak 38 bungkusan dipercayai dadah disimpan dalam dua bagasi berkenaan yang dianggarkan berat keseluruhannya melebihi 39kg.

Pihaknya turut merampas sebuah bot fibre berserta enjin Yamaha 30 kuasa kuda bernilai kira-kira RM20,000.

“Usaha mengesan kedua-dua suspek giat dijalankan termasuk melakukan padanan cap jari oleh Jabatan Forensik bagi menjejaki dalang yang terlibat,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

14  +    =  19