Maritim kejar bot fiber bawa dadah RM3.8 juta

 Maritim kejar bot fiber bawa dadah RM3.8 juta

Oleh Nurman Nasyriq

BATU PAHAT, 26 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas dadah jenis syabu seberat 69 kilogram dianggarkan bernilai RM3.8 juta di perairan Parit Amat, Muar semalam.

Zon Maritim Batu Pahat mengesan bot itu jam 11.20 pagi selepas dimaklumkan orang awam yang melihatnya dalam keadaan mencurigakan dengan berlegar dan cuba memasuki perairan Parit Amat.

Dua bot ronda maritim ke lokasi bagi mengesan serta memeriksa bot fiber berkenaan yang disyaki dari Indonesia.

Nurul Hizam menunjukkan dadah yang dirampas pihak maritim Batu Pahat dipercayai syabu selepas menahan sebuah bot fiber di perairan Parit Amat, Muar dalam sidang akhbar di Batu Pahat, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, sebaik bot ronda pertama tiba di sekitar lokasi, bot fiber dinaiki dua lelaki itu sedang bergerak keluar dari Parit Amat.

“Sebaik melihat kehadiran bot pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan berpatah balik memasuki Parit Amat dan memecut laju ke arah hutan paya bakau berhampiran.

“Kedua-dua suspek meninggalkan bot berserta semua muatan pada kedudukan 0.1 batu nautika barat daya Parit Amat dan melarikan diri dengan menyusup ke dalam hutan paya bakau sebelum menghilangkan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Pihak maritim melakukan pemeriksaan dalam bot yang ditinggalkan itu manakala bot ronda maritim kedua yang tiba di lokasi bertindak menyusur tepian bagi mengesan dua suspek tersebut namun tidak menemukan mereka.

Operasi mengesan suspek di kawasan darat dilakukan dengan dibantu Pasukan Gerakan Am Batalion 6 (PGA).

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot fiber suspek itu menemukan empat beg plastik pelbagai warna, satu bungkusan kurier serta sebuah beg sandang mengandungi 66 paket bungkusan teh Cina dan di dalamnya terdapat hablur (kristal) dipercayai dadah jenis syabu.

“Bot berukuran 24 kaki panjang dan lebar enam kaki itu menggunakan enjin model Mercury dengan kekuatan 150 kuasa kuda dirampas bersama-sama muatan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Nilai rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM 3.9 juta.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  5  =