• Friday, 18 June 2021, 1:16 am

Maqis tahan kontena 68 tan habuk kayu Kanada

 Maqis tahan kontena 68 tan habuk kayu Kanada

Oleh Nurman Nasyriq

ISKANDAR PUTERI, 30 Mei – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena membawa produk kayu (sawn timber) dari Kanada di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dekat sini kelmarin.

Maqis menahan kontena membawa produk kayu dari Kanada, kelmarin

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, hasil pemeriksaan rutin dijalankan Pegawai Penguasa Maqis mendapati, kontena itu membawa masuk produk kayu itu seberat 68 tan metrik.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati produk kayu itu yang dianggarkan bernilai RM210,776.54 dibawa masuk menggunakan permit import yang telah tamat tempoh.

“Kesemua produk kayu itu telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan ke dua atau berikutnya didenda tidak lebih RM150,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Pihak Maqis menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *