Maqis tahan kelapa kering dari Papua New Guinea

 Maqis tahan kelapa kering dari Papua New Guinea

PASIR GUDANG 24 JUN 2021. Kelapa kering dari Papua New Guinea ditahan kerana mengandungi serangga perosak di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor kelmarin. GAMBAR IHSAN MAQIS

PASIR GUDANG, 24 Jun — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan 16 buah kontena yang membawa kelapa kering dari negara Papua New Guinea kerana terdapat serangga perosak di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini kelmarin.

Menurut Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, serangga perosak yang disyaki daripada spesies ‘necrobia rufipes’ dikesan dalam kelapa kering berkenaan.

Katanya, perkara itu disedari hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pada pukul 8 pagi oleh pegawai penguat kuasa ke atas kontena tersebut.

Pihaknya turut mendapati nombor rujukan permit tidak dicatatkan pada sijil fitosanitasi yang dikemukakan.

“Kesemua kelapa kering sebanyak 225 tan yang dianggarkan bernilai RM778,500 berkenaan telah ditahan untuk tindakan lanjut.

 

Sebahagian daripada Kelapa kering dari Papua New Guinea ditahan kerana mengandungi serangga perosak. GAMBAR IHSAN MAQIS

“Ejen penghantaran berusia 24 tahun yang membawa muatan itu telah ditahan untuk merakamkan keterangan sebelum dilepaskan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport produk pertanian yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali dan denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya.

“Pihak Maqis menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

35  −  29  =