Maqis rampas sayur segar RM78,553 dari China

 Maqis rampas sayur segar RM78,553 dari China

Oleh Nurman Nasyriq

ISKANDAR PUTERI, 1 April – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan sebuah kontena yang membawa pelbagai jenis sayuran segar dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, kelmarin.

Menerusi pemeriksaan rutin dijalankan Pegawai Penguasa Maqis pada jam 5 petang mendapati kontena itu membawa 11.436 tan metrik sayur yang dianggarkan bernilai RM78,553.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pihaknya menemukan pelbagai kesalahan pada label yang ditampal pada bekas sayuran import itu.

Antara kesalahannya tiada maklumat berkenaan saiz dan gred sayuran tidak dinyatakan seperti diikrarkan dalam dokumen pengimportan.

Semua sayur segar tersebut ditahan untuk tindakan lanjut, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

Sekiranya disabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak lebih RM75,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  4  =