Maqis rampas pokok bonsai bernilai RM700,000

 Maqis rampas pokok bonsai bernilai RM700,000

Maqis dan Kastam Johor merampas dua kontena mengandungi 12 pokok bonsai yang cuba dibawa masuk tanpa permit di Pelabuhan Pasir Gudang, minggu lepas.

PASIR GUDANG, 20 Jun – Cubaan sebuah syarikat membawa masuk 12 pokok bonsai dari Jepun tanpa permit bernilai RM700,000 gagal apabila dua kontena ditahan di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini minggu lalu.

Rampasan itu dilakukan penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semasa pemeriksaan pada jam 9 malam.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, pokok bonsai daripada spesies ‘podacarpus macrophyllus’ itu dibawa masuk tanpa permit import yang sah.

“Semua barang dagangan tersebut ditahan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyatan, di sini hari ini.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak lebih RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Pihak Maqis dan JKDM akan terus bekerjasama dan sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang yang ditetapkan serta menasihati semua pengimport dan pengeksport sentiasa mematuhi peraturan bagi mengawal penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  5  =  3