Maqis rampas kontena lobak merah segar dari China

 Maqis rampas kontena lobak merah segar dari China

Oleh Nurman Nasyriq

ISKANDAR PUTERI, 27 April – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan satu kontena lobak merah segar dari China di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dekat sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, hasil pemeriksaan rutin dijalankan Pegawai Penguasa Maqis pada jam 9.30 pagi mendapati kontena itu membawa 27,900 kilogram lobak merah segar dianggarkan bernilai RM75,800.

“Semasa pemeriksaan, didapati maklumat pada label lobak merah itu tidak sama seperti yang diikrarkan dalam sijil perakuan yang dikemukakan. Kesemua lobak merah segar tersebut ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

Jika sabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak lebih RM75,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Maqis menasihati semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan  ditetapkan kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  4