• Sunday, 20 June 2021, 11:14 am

Maqis rampas ikan delah, todak

 Maqis rampas ikan delah, todak

Maqis Johor menahan ikan delah dan ikan todak bernilai RM8,520 di Pelabuhan Pasir Gudang, kelmarin.

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 29 Mei – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas ikan delah dan ikan todak yang dianggarkan bernilai RM8,520 di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini kelmarin.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, rampasan dibuat susulan pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa yang menemukan barangan berkenaan di dalam sebuah tongkang di Dermaga 7, pelabuhan itu pada pukul 4 petang.

Katanya, ikan delah yang dirampas adalah seberat 640 kilogram (kg), manakala ikan todak pula seberat 80 kg.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pihak kami menemukan sejumlah ikan di dalam tongkang yang membawa pelbagai jenis ikan basah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ikan-ikan dengan berat keseluruhan 740 kg dan bernilai RM8,520 itu telah dibawa masuk tanpa permit import,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kesemua konsainan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak lebih RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Beliau turut menasihati semua pengimport dan pengeksport agar mengikut peraturan ditetapkan kerajaan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan Malaysia terpelihara.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *