Maqis rampas 5,000 kg produk susu dari Singapura

 Maqis rampas 5,000 kg produk susu dari Singapura

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 26 Mac — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah lori dan merampas 5,000 kilogram (kg) Trucal Milk Calcium yang cuba dibawa masuk dari Singapura di laluan kargo import di Bangunan Sultan Iskandar, di sini semalam.

Maqis Johor dalam satu kenyataan memberitahu, menerusi pemeriksaan rutin dilakukan pegawai Maqis pada jam 6 petang mendapati pengimport tersebut tidak mematuhi syarat import.

Pengimport gagal mengemukakan sijil kesihatan dari negara asal seperti yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

Maqis menahan sebuah lori dan merampas 5,000 kg produk susu dari Singapura di laluan kargo import di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru semalam.

Semua barang dagangan itu yang dianggarkan bernilai RM197,400 ditahan untuk tindakan lanjut, menurut satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana tidak mematuhi syarat import seperti yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-dua sekali.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak lebih RM150,000 atau dipenjarakan hinga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

83  −  75  =