• Thursday, 17 June 2021, 2:19 pm

Maqis rampas 24 tan susu dari Perancis

 Maqis rampas 24 tan susu dari Perancis

Maqis Johor menahan kontena membawa 24 tan susu skim dari Perancis di Pelabuhan Pasir Gudang, Pasir Gudang, kelmarin.

Oleh Nurman Nasyriq

PASIR GUDANG, 19 Mei – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan kontena membawa 24 tan susu skim dari Perancis di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini kelmarin.

Kejayaan itu susulan pemeriksaan dilakukan pihak Maqis ke atas kontena tersebut pada jam 10.45 pagi.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati nombor dinyatakan dalam sijil kesihatan yang diikrar pada label bungkusan itu mengelirukan.

“Kesemua barang dagangan bernilai RM306,931.43 itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian menggunakan memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *