Maqis rampas 24 tan kayu dari Chile

 Maqis rampas 24 tan kayu dari Chile

Maqis menahan dan merampas 10 kontena muatan produk kayu pinus radiata pine dalam pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri, semalam.

ISKANDAR PUTERI, 22 Jul — Cubaan membawa masuk 10 kontena muatan produk kayu pinus radiata pine dengan memberikan nombor permit mengelirukan gagal di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini semalam.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam satu kenyataan memberitahu, semua kontena tersebut ditahan Pegawai Penguat Kuasa Maqis dalam pemeriksaan pada jam 3.45 petang.

“Pihak Maqis mendapati nombor permit yang dikemukakan tidak sama seperti tertera dalam sijil fitosanitasi yang diikrarkan bagi produk kayu pinus radiata pine tersebut.

“Kesemua kayu yang dianggarkan sebanyak 42 tan metrik dengan nilai RM508,889 telah ditahan untuk tindakan lanjut,” demikian menurut kenyataan tersebut, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya akan didenda tidak lebih RM75,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pihak Maqis menasihatkan semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan ditetapkan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

49  +    =  56