MAQIS patahkan cubaan bawa masuk 23 pokok keladi hiasan

 MAQIS patahkan cubaan bawa masuk 23 pokok keladi hiasan

MAQIS Johor merampas pokok keladi hiasan tanpa permit yang cuba dibawa masuk dari Singapura, semalam.

JOHOR BAHRU, 18 Ogos — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 23 pokok keladi hiasan tanpa permit dari Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini semalam.

MAQIS Johor memaklumkan, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya dan JKDM menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori di laluan lori import KSAB, kira-kira jam 4.30 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemukan tanaman keladi hiasan yang dianggarkan bernilai RM7,230 kerana gagal mengemukakan Permit Import MAQIS dan sijil rawatan dari negara asal yang sah.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan kesemua pokok keladi hiasan ke dalam tong ikan yang kosong dan bertujuan untuk dijual dalam pasaran tempatan.

“Untuk makluman, tanaman keladi hiasan yang ditahan adalah dari spesies Anthurium luxurians, Anthurium magnificum dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Permintaan tinggi daripada penggemar tanaman tersebut menjadikan pengimport mengambil tindakan berani dengan menyeludup masuk spesies yang jarang ditemui dalam pasaran tempatan.

Ada beberapa tanaman yang ditahan bernilai RM3,200 hingga RM3,800 sepohon dalam pasaran tempatan.

Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  26  =  27