Maqis Johor rampas isi ikan sejuk beku RM31,500

 Maqis Johor rampas isi ikan sejuk beku RM31,500

Maqis merampas isi ikan sejuk beku yang dibawa oleh sebuah lori yang ditahan di KSAB, di sini, semalam.

JOHOR BAHRU, 31 Jul — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan 63 kotak mengandungi isi ikan sejuk beku sebanyak 1,260 kilogram (kg) bernilai RM31,500 dari Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini semalam.

Maqis Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, produk sejuk beku itu ditahan kerana mengemukakan maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan semasa pemeriksaan dijalankan.

Tindakan itu dikesan ketika  pemeriksaan terhadap sebuah lori di laluan kenderaan import KSAB kira-kira jam12.30 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati isi ikan tersebut dipercayai dari Indonesia yang  dibawa masuk ke Malaysia melalui Singapura.

“Kesemua isi ikan yang bernilai RM31,500 tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana telah mengemukakan maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan kepada Pegawai Pemeriksa Maqis,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14  −  5  =