Mangsa trauma ingat insiden bau toksik selubungi rumah

 Mangsa trauma ingat insiden bau toksik selubungi rumah

Rozina mengakui masih lemah akibat terhidu udara tercemar akibat pembuangan sisa toksik ke dalam sungai berhampiran rumahnya di Kampung Baru Seri Aman, Kempas, Selasa lalu.

JOHOR BAHRU, 17 Sept — Rozina Ahmad, 46, yang pengsan akibat terhidu bau sisa toksik di Kampung Baru Seri Aman, Kempas mendakwa masih trauma apabila mengingatkan kejadian pada malam Selasa lalu itu.

Dalam kejadian itu, dia dan kakaknya, Zarina, 49, terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan susulan setelah mengalami sesak nafas.

Kejadian pencemaran udara akibat sisa buangan industri itu disedari suri rumah berkenaan kira-kira jam 7.30 malam ketika sedang memasak di dapur.

Suaminya, Abdul Rahim Md. Taib, 47, yang cuba mengesan punca bau itu ternampak kepulan wap keluar dari anak sungai yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah mereka.

“Bau itu sangat kuat sehingga menyesakkan dada. Walaupun rumah dalam keadaan bertutup, bau itu tetap ada.

“Kira-kira jam 9 malam, kakak saya tercungap-cungap setelah terhidu bau toksik itu sebelum jatuh pengsan lalu suami menghubungi pihak bomba memaklumkan kejadian tersebut,” katanya.

Tidak lama selepas itu, Rozina turut mengalami sesak nafas sebelum pengsan dan dikejarkan ke hospital yang sama.

“Kejadian itu amat meresahkan saya lebih-lebih lagi baru tamat kuarantin kendiri di rumah setelah positif COVID-19. Lebih 20 kali saya muntah pada malam itu.

“Ketika saya positif COVID-19, saya masih boleh bernafas dengan baik, tidak seperti Ini. Insiden itu jauh lebih teruk,” katanya.

Kini dia masih mengalami kesukaran bernafas dan keadaan bertambah buruk kerana menghidap asma.

Keadaannya ketika ini masih lemah dan tidak berdaya kerana masih sakit dada, pening, kering tekak dan batuk.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =